Home Kenyataan Media PAS Kedah

Rakyat pertingkatkan keazaman

437
SHARE

Kenyataan Media Rasmi
Perhubungan PAS Negeri Kedah

TAHUN BAHARU 2020
Rakyat Pertingkatkan Keazaman

مَنۡ عَمِلَ صَٰلِحٗا مِّن ذَكَرٍ أَوۡ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤۡمِنٞ فَلَنُحۡيِيَنَّهُۥ حَيَوٰةٗ طَيِّبَةٗۖ وَلَنَجۡزِيَنَّهُمۡ أَجۡرَهُم بِأَحۡسَنِ مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ

Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.

-Surah An-Nahl, Ayat 97

1. Permulaan tahun baru 2020 sudah seminggu berlalu. Bagi Muslim meskipun tidak terlibat dengan sebarang perayaan bagi menyambut ketibaannya, namun boleh mengambil semangat yang tidak dihalang oleh agama.

2. Kedatangan tahun baru ini seharusnya disusuli dengan mempertingkatkan keazaman setiap lapisan masyarakat untuk mencapai kejayaan yang lebih baik dalam kehidupan.

3. Bagi ibu bapa sudah pasti ingin membina sebuah kehidupan berkeluarga yang harmonis dan seterusnya memberi impak kepada proses persekitaran bermakna dan positif kepada perkembangan anak-anak.

4. Guru-guru mengharapkan kejayaan anak-anak didik dan seterusnya menjadi insan yang berjaya seterusnya dapat menyumbang kepada masyarakat.

5. Para Ulamak ingin menyeru seluruh anggota masyarakat kembali kepada agama untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat dengan berpandukan ilmu serta syariat.

6. Pucuk pimpinan juga mengharapkan agar para pemuda pewaris bangsa sederap selangkah bersama-sama menyahut seruan perjuangan ke arah memartabatkan agama, bangsa dan negara.

7. Pada masa yang sama rakyat wajar menilai dan menganalisis sejauh mana kesungguhan kerajaan Pakatan Harapan yang memerintah negara lebih satahun tujuh bulan ini dalam memartabatkan agama, meningkatkan taraf hidup dan ekonomi negara serta perpaduan rakyat.

8. Sebagai rakyat kita harus melihat kembali apakah PH telah melaksanakan segala manifesto mereka atau sekadar pemanis bicara ketika pilihanraya. Hakikatnya rakyat terutama golongan B40 terus terhimpit dan tersepit dalam peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi.

9. Dalam mendepani isu-isu negara pada hari ini mari kita semua renungkan secara bersama. Mahukah kita menang sorak kampung tergadai? Mahukan kita merempat di tanah air sendiri atau mahukah kita menangis tapi tanah tumpah milik orang ? Renungkan dan fikirkan.

10. Di bahu kitalah mereka yang berdaftar sebagai pengundi, yang akan mencorakkan pemimpin masa depan. Ayuh bukalah mata, bukalah minda, bukalah pintu hati untuk menilai kembali siapa yang harus kita pilih untuk memimpin kita pada masa depan. Pilihlah kepimpinan yang cintakan agama dan yang lain-lainnya akan hadir dengan sendirinya.

“ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN”

Terima Kasih.,
Ustaz Rodhi Bin Abd Rahman Al Hafiz
Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah.

12 Jamadil-Awwal 1441H
8 Januari 2020M