Raikan Syawal : Majlis Rumah Terbuka PAS Pusat
Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna. Hakikatnya Hari Raya Aidilfitri juga merupakan satu anugerah Allah SWT terhadap umatnya yang telah menyempurnakan ibadah puasa dengan bukan hanya sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi menahan diri dari godaan hawa dan nafsu masing-masing.
Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, adalah menjadi tuntutan kita meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri ini dengan mengikuti amalan dan sunnah yang dianjurkan oleh Rasulullah agar setiap perbuatan yang kita lakukan akan memperolehi ganjaran pahala di sisiNya.
Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengalu-alukan dan menjemput seluruh muslimin dan muslimat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat pada 8 Julai 2017 bersamaan hari Sabtu 14 Syawal 1438 Hijrah. Majlis sambutan raya ini akan berlangsung di Kompleks Al Makmur, Kerdau Pahang bermula jam 1 hingga 4 petang. Datanglah beramai-ramai, bawa bersama seisi keluarga dan saudara-mara. Semoga kehadiran para tetamu dapat memeriahkan majlis dan dipenuhi dengan keberkatan dari Allah swt.
“Orang yang menjalinkan hubungan kekeluargaan bukanlah mereka yang membalas sesuatu kebaikan, tetapi adalah mereka yang menyambungkan (menjalinkan semula) suatu perhubungan yang telah terputus.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)
Ayuh ambil kesempatan bertemu dengan pimpinan PAS, datanglah beramai-ramai pada hari Sabtu ini, bersama merapatkan ukhhuwah dan jalinkan kasih sayang sesama kita. Hulurkan tangan bermaaf-maafan dan binalah hubungan persaudaraan yang kukuh berlandaskan persaudaraan Islam.
Diriwayatkan Anas bin Malik bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: “Janganlah kamu saling marah, dengki dan tidak menegur antara satu sama lain. Tetapi jadilah kamu semua bersaudara.” (Hadis riwayat Muslim).
Ahlan wasahlan ke negeri Pahang! Raikan Syawal bersama dengan penuh kesyukuran.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Muslimat Memacu Kemenangan”
USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
7 Syawal 1438H | 1 Julai 2017