Home Berita PAS Kedah

Pusat latihan serba lengkap bakal menjadi mercu tanda keempat milik PAS Kedah

223
SHARE

OLEH: ABU IBRAHIM

KULIM-BANDAR BAHARU, 28 JAN: Pusat Latihan PAS Negeri Kedah bakal menjadi satu lagi sejarah besar mercu tanda aset dan hartanah milik parti ini yang bakal dibangunkan di tanah wakaf seluas 3 relung di Kampung Lubok Jong, Sedim, di sini.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, selain pusat latihan ini, PAS Kedah juga pernah menempa sejarah pelancaran dan peletakan batu asas pembinaan kompleks pendidikan pada tahun 1984.

Iaitu nyata beliau, Muassasah Darul Ulum yang ketika itu disempurnakan Yang Dipertua PAS, Tuan Guru Yussof Rawa di mana terbina dengan belanja jutaan ringgit hasil infak pengorbanan ahli-ahli PAS.

“Yang kedua pada tahun 2001, kita berkumpul pada waktu malam, di tapak kompleks pentadbiran PAS Negeri Kedah di Batu 9, dan majlisnya disempurnakan oleh Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor.

“Siapa yang hadir dapat mengingati kembali bagaimana himpunan pada malam tersebut seluruh ahli-ahli PAS pimpinan PAS daripada negeri Kedah menyaksikan bagaimana peletakan batu asas yang menjadi sejarah kepada pembinaan kompleks.

“Dan hari ini kita juga dapat saksikan kompleks PAS Kedah hampir siap. Alhamdulillah. Walaupun mengambil satu tempoh yang panjang, dan apa yang amat istimewa ialah kita dapat saksikan pengorbanan secara berterusan daripada ahli, daripada pimpinan PAS di semua peringkat.

“Tiap-tiap kali kita nak mulakan pembinaan, pembinaan dewan, kemudian pembinaan bangunan pentadbiran, pembinaan bangunan daya, pembinaan masjid, tiap-tiap kali itu kita akan lancarkan kutipan demi kutipan.

“Dan yang terbaru kita lancarkan lagi kutipan untuk membaik pulih Dewan Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor yang akan menelan belanja lingkungan RM600,000. Sekali lagi kutipan kita buat,” ujarnya pada majlis pelancaran pusat latihan itu, semalam.

Jelasnya, tanggungjawab itu diletakkan kepada 1,300 PAS Cawangan yang ada di negeri ini dan mensasarkan sekurang-kurang 1,000 Cawangan menyumbang sebanyak RM6,000.

Lanjutnya mengupas sejarah itu, PAS Kedah pada kali ke ketiga dalam tahun 2013, mengusahakan pula pembangunnan kompleks pentadbiran pendidikan PAS Negeri Kedah di Pondok Tuan Guru Haji Abdul Majid di Guar Cempedak.

“Ini kelebihan-kelebihan yang Allah kurniakan kepada PAS Negeri Kedah, dan juga andainya pembangunan ini berjaya dilaksanakan, menjadi mercu tanda baru kepada PAS Negeri Kedah di sebelah Selatan yang dahulunya bila sebut Kulim Bandar Baharu rasa jauh bagi orang di sebelah Utara.

“Dan Kulim-Bandar Baharu pula berasa macam negeri dunia ketiga, rasa jauh daripada PAS Negeri, tapi insya-Allah selepas daripada ini tidak jauh lagi kerana mercu tanda baru kepada PAS Negeri Kedah juga berada di Kulim Bandar Baharu. Alhamdulillah,” ucapnya.

Beliau menyeru semua pihak untuk terus menyumbang selain turut merakam penghargaan di atas segala usaha telah dijayakan.