Oleh : KHASDI KOSMIN
SEMAMBU, 8 Feb :: Pusat Khidmat Masyarakat PAS DUN Semambu (PKMPDS) yang baru ditubuhkan pada awal Januari 2023, terus berbakti menyantuni masyarakat sekitar Semambu.
Pesakit Muhammad Shahdan Mohammad 24, telah menerima katil pesakit dari PKMPDS di rumahnya di Taman Impian di sini baru-baru ini setelah tiga minggu terlantar sakit akibat kemalangan jalan raya.
Selain mendapat bantuan katil pesakit, keluarga ini juga telah tersenarai sebagai penerima bantuan barangan dapur setiap bulan kerana telah hilang punca pendapatan.
Isteri pesakit Seri Nurasyikin Razali 24 yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta telah bercuti untuk memberi perhatian kepada suami dan dua orang anaknya yang masih kecil.
Beliau tidak pernah berputus asa untuk meneruskan kehidupan dengan berusaha lebih bagi menambah pendapatan keluarganya.
Beliau bersyukur dan berterima kasih kepada PKMPDS di atas sikap prihatin dan bantuan yang telah diberikan, dapat memberi keselesaan dan kelegaan kepada suaminya.
Pengarah PKMPDS Ustaz Zulfadhli Zakaria yang menyampaikan sumbangan berkata, bantuan ini dapat disalurkan hasil sumbangan orang ramai yang prihatin dan cakna kepada masyarakat.
“Sikap seumpama inilah yang menjadi teras dan pegangan masyarakat untuk saling bantu membantu kepada yang memerlukan”, tambah beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Indera Mahkota.