Home Berita PAS Perak

Proses pemilihan di Perak berjalan lancar

195
SHARE

Oleh:JAUDIN M AMIN

BUKIT GANTANG: Proses pemilihan saf kepimpinan PAS Pusat sesi 2021-2023 pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 peringkat negeri Perak berjalan dengan lancar.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Muktamar Ke-67 negeri, Ismad Shahril Che Mat berkata setiap pergerakan perwakilan dari dewan Muktamar ke pusat pengundian dibuat secara berkumpulan mengikut kawasan-kawasan mulai jam 12 tengahari.

Pergerakan perwakilan untuk proses pemilihan itu diselia penuh oleh Jabatan Amal dan Briged Muslimat yang bertugas bagi memastikan proses itu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19.

“Seramai enam perwakilan bagi setiap kawasan layak mengundi (dan) proses pengundian dijalankan secara atas talian (e-voting). Biasanya proses pengundian mengambil masa antara dua hingga lima minit bagi setiap pengundi.

“Setiap pengundi yang layak akan diberikan kata kunci khas untuk mengakses ke portal undian. Untuk melicinkan proses pemilihan, Jabatan IT (telah) menyediakan petugas bagi membantu para perwakilan yang memerlukan bimbingan.

Katanya, pihak jawatankuasa beliau menjangkakan proses pengundian akan selesai dalam tempoh satu hingga ke satu setengah jam dan dapat diselesaikan sebelum jam 3 petang.

“(Namun) Alhamdulillah, proses pemilihan hari ini tamat dengan jangka masa yang lebih awal dari apa yang kita bayangkan. (Pada) jam 1:10 petang, proses pemilihan telah pun selesai melibatkan 124 perwakilan yang hadir,” ujarnya.

Pemilihan PAS Pusat berlangsung sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 yang berlangsung di Duyung Marina & Resort, Pulau Duyong, Terengganu dan turut diadakan secara hibrid serentak di sebelas lokasi di seluruh negara.