Home Berita PAS Wilayah

Perwakilan Wilayah undi calon AJK PAS Pusat atas talian

184
SHARE

Oleh DHIYA’ MUTTMAINNAH

KUALA LUMPUR, 6 Nov: Pemilihan Jawantankuasa Kerja PAS Pusat sempena Muktamar Tahunan PAS kali Ke-67 telah berjalan secara atas talian bagi Perwakilan Wilayah Persekutuan hari ini.

Menurut Ketua Jawatankuasa Pemilihan Wilayah Persekutuan, Khairul Anuar, seramai 55 orang perwakilan Wilayah Persekutuan telah melaksanakan tanggungjawab selaku pemilih pada muktamar kali ini.

“Kesemua 55 orang perwakilan itu terdiri daripada 52 orang dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta 3 orang dari Wilayah Persekutuan Labuan,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, meskipun muktamar tahunan ini adalah yang pertama melaksanakan pemilihan secara atas talian, namun pengalaman pelaksanaannya secara atas talian dalam muktamar pelbagai peringkat sebelum ini banyak membantu kelancaran pemilihan.

“Saya bersama Jawatankuasa Pemilihan yang lain telah bersama-sama menguruskan hal ehwal pemilihan secara atas talian ini sejak muktamar di peringkat cawangan, kawasan, negeri dan sekarang ke peringkat Pusat mewakili Wilayah Persekutuan. Sebarang arahan sentiasa diterima secara langsung daripada Jawatankuasa Pemilihan Pusat,” jelas beliau.

Empat buah komputer riba bersama empat buah mesin cetak turut disediakan buat perwakilan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Darul Madani bagi melancarkan lagi perjalanan aktiviti pemilihan.

Semua perwakilan yang terlibat juga telah diberikan taklimat terlebih dahulu berkaitan garis panduan yang perlu diikuti sebelum dipanggil untuk membuat pemilihan.