Home Berita PAS Terengganu

Proses baik pulih Masjid Kristal dijangka siap menjelang Ramadan

82
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerja- kerja membaikpulih kerosakan Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam di sini dijangka siap menjelang Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutif PMINT, Wan Adnan Wan Derahman berkata, dua kerosakan besar yang berlaku kepada masjid tersebut iaitu kebocoran bumbung serta kerosakan 28 keping kristal yang dikenal pasti sejak tahun 2017, sudah siap sepenuhnya.

“Jabatan Kerja Raya telah buat ujian ketahanan untuk memastikan tiada kebocoran berlaku dan PMINT dipertanggungjawabkan menyelia kerja-kerja tersebut.

“Sekiranya masih berlaku kebocoran, kita akan pastikan ianya dibaiki semula kerana masih dalam tempoh waranti,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Wan Adnan berkata, terbaru PMINT mendapat peruntukan sebanyak RM700,000 daripada kerajaan negeri untuk kerja-kerja membaiki dinding parapet, siling dan elektrikal.

“Kini, kerja-kerja tersebut dalam proses dan dijangka siap sebelum Ramadan tahun ini bagi membolehkan Masjid Kristal digunakan untuk solat tarawih,” katanya.

Katanya, setakat ini pihaknya telah berjaya menyelesaikan 40 peratus daripada kerja-kerja baik pulih keseluruhan.

Tambah beliau, kerja baik pulih yang sepatutnya siap lebih awal tertangguh disebabkan beberapa masalah termasuk kekangan peruntukan, kontraktor juga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Masjid Kristal menjadi antara ikon pelancongan negeri kerana seni bina yang unik menggunakan kaca dan keluli selain dibina di tebing Sungai Terengganu.