Home Berita PAS Terengganu

Kes Omicron Terengganu meningkat, dua daerah terselamat

72
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sehingga kini, Terengganu mencatatkan peningkatan kes varian membimbangkan (VOC) Omicron sebanyak 15 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 melibatkan VOC mencecah 108 kes.

Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu (JKNT), Dato’ Dr Kasemani Embong berkata, daripada jumlah tersebut 84 daripadanya adalah varian Delta dan sembilan lain melibatkan varian Beta.

“Pada masa ini, hanya dua daerah tidak melaporkan kes Omicron iaitu Hulu Terengganu dan Marang, kesemua dilaporkan adalah kes import dalam kalangan Jemaah umrah yang pulang daripada Arab Saudi, baru-baru ini.

“Ini bermaksud kes VOC jenis ini masih tidak melibatkan transmisi rakyat dalam negeri walaupun dalam kalangan keluarga.

“Masing-masing yang terlibat telah diarahkan menjalani kuarantin kendiri ketat di rumah, bagi mengelakkan penularan tempatan varian ini, pihak kami akan terus membuat pemantauan rapi terutamanya terhadap golongan pengembara daripada luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa bersiaran langsung dalam slot Bicara Jabatan Kerajaan di TVDI, pagi tadi.

Tegas Dr Kasemani, pihaknya menekankan kepada seluruh masyarakat agar tidak memperlekeh dan terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat terutamanya melibatkan kuarantin kendiri.

“Ada pihak ambil kesempatan, pakai gelang tetapi bercampur dengan orang lain dan tidak menghadkan diri di dalam bilik, terutamanya bila wujud VOC yang mudah berjangkit.

“Sentiasa patuh kepada SOP dan amalan norma baharu, Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit, dan sembang dengan jarak yang dekat); Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear dan Warn); dan sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup,” jelasnya.