Home Berita PAS Perlis

Projek infrastruktur rakyat: ADUN Guar Sanji zahir penghargaan

130
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

ARAU, 9 Dis: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim menzahirkan penghargaan kepada semua agensi serta jabatan kerajaan yang telah melaksanakan projek-projek infrastruktur untuk rakyat di DUN berkenaan.

Jelasnya, kebanyakan projek yang dirancang telah berjaya disempurnakan sekaligus memberikan keselesaan kepada para penduduk.

“Misalnya, masalah tekanan air rendah di Kampung Guar Sanji dan Taman Utara Guar Sanji serta projek penggantian paip air terawat telah diambil perhatian dan diselesaikan oleh Syarikat Air Perlis (SAP).

“Selain itu, permohonan penurapan beberapa batang jalan melibatkan Jalan Kampung Serdang-Chantek Bangun, Jalan Changkat Jawi- Chemumar, Jalan Jambatan Guar Sanji serta Jalan Jambatan Changkat Kabu juga telah dilaksanakan pada beberapa hari yang lepas.

“Justeru, saya mewakili para penduduk di DUN ini merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhigga kepada semua pihak yang terlibat atas keperihatinan dan komitmen yang telah diberikan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Jelas beliau lagi, sepanjang tahun 2021, penduduk di DUN Guar Sanji turut menikmati faedah hasil pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur berskala kecil seperti pembaikan dan pembinaan rumah penduduk, kemudahan infrastruktur asas desa (naik taraf jalan, longkang dan jambatan), projek naik taraf dewan orang ramai, tebatan banjir, penebangan pokok bahu jalan serta pelaksanaan Program Agihan Makanan Asas (PAMA) melibatkan nilai peruntukan melebihi RM1.4 juta.