Home Melaka

Pena editor Melaka | Kes mahkamah – tak perlu berselindung kononnya teraniaya

167
SHARE

SATU ketika dahulu ada exco kerajaan di sebuah negeri ditahan polis atas tuduhan merogol. Serentak itu terus pemimpin dan penyokong parti yang disertai exco ini pada waktu itu mengeluar kenyataan bahawa tuduhan ini adalah fitnah dan konspirasi.

Terma konspirasi ini popular digunakan semasa kes tuduhan liwat Dato’ Seri Anwar Ibrahim penghujung tahun 90an dahulu. Anwar mendakwa tuduhan yang dikenakan padanya sebagai konspirasi.

Kerana simpati daripada rakyat yang percaya bahawa Anwar dianiaya akhirnya tertubuhlah Parti Keadilan Nasional (KeADILan) yang kemudiannya menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berjaya menggegarkan politik tanah air.

Pada masa itu juga persepsi bahawa sistem pendakwaan dan kehakiman negara digugat dengan campur tangan politik, kuat terpasak di minda rakyat. Dan malangnya persepsi itu masih kekal sehingga kini.

Terlebih dahulu, suka saya jelaskan bahawa penulisan ini tidak memihak kepada mana-mana samada parti kerajaan atau parti pembangkang. Bagi saya soal keadilan ini adalah meliputi keseluruhan komponen yang ada dalam sistem politik. Semua pihak samada parti kerajaan atau pembangkang perlu mendapat keadilan.

Dari dahulu hingga kini ramai ahli-ahli politik apabila mereka terpalit dengan tuduhan jenayah terus sahaja mereka mendakwa bahawa mereka difitnah dan dianiaya.

Ambil situasi ini. Seorang ahli politik parti kerajaan dituduh melakukan jenayah. Kemudian ahli politik ini mendakwa dia tidak bersalah dan menuduh ianya fitnah yang diada-adakan pembangkang. Mereka menghasut rakyat agar tidak mempercayai tuduhan itu.

Satu situasi lagi, seorang ahli politik pembangkang dituduh melakukan jenayah. Kemudian ahli politik ini mendakwa dia tidak bersalah dan menuduh ianya konspirasi yang diada-adakan oleh parti kerajaan menggunakan jentera kerajaan. Mereka juga menghasut rakyat agar tidak mempercayai tuduhan itu.

Saya melihat budaya ini merupakan sesuatu yang tidak sihat dalam dunia politik kita. Dan jika perkara ini tidak dibendung maka ia akan memudahkan ahli politik yang melakukan jenayah untuk terus menjadikan taktik ini sebagai perisai untuk melindungi kegiatan sebenar mereka.

Apabila jenayahnya terbongkar sahaja maka terus dia menarik simpati penyokongnya kononnya dia teraniaya.

Dua punca mengapa perkara ini semakin menjadi-jadi ialah, yang pertama kerana kemungkinan berlakunya penganiayaan politik dan fitnah oleh parti yang berkuasa sekian lama yang dilihat sering mengada-adakan pertuduhan untuk membuli ahli politik pembangkang sementara punca kedua ialah kerana kemungkinan sistem pendakwaan dan keadilan yang diganggu oleh parti pemerintah.

Daripada dua punca ini, sikap suka membuat fitnah dan konspirasi ini memang sukar diubah. Namun kita boleh melakukan perubahan dengan memastikan sistem pendakwaan dan kehakiman tidak diganggu gugat oleh ahli-ahli politik.

Dengan cara ini ahli-ahli politik yang melakukan kesalahan tidak akan lagi berkubu dengan simpati rakyat tetapi akan menyerahkan kepercayaan kepada badan kehakiman untuk membersihkan nama mereka sekiranya mereka benar-benar tidak bersalah.

Jadi tidak akan timbul lagi ahli politik yang meratap dan menagih simpati kononnya mereka tidak bersalah dan teraniaya untuk mendapat sokongan rakyat setiap kali mereka ‘terkantoi’ buat salah.

Rakyat juga mahu melihat para Hakim bebas untuk mensabitkan hukuman bersalah hatta kepada Perdana Menteri yang sedang berkuasa sekali pun, tanpa rasa takut atau memihak. Sesuatu yang mereka tidak dapat lihat sebelum ini. Ini rakyat mahu lihat.

IBNU JANIE
Editor Berita PAS Melaka dan WARM
Jabatan Penerangan PAS Melaka