Home Berita PAS Kedah

Projek Air Berhutang VS Geran Persekutuan: Mana Satu Pilihan BN Kedah? 

1697
SHARE

Cadangan pembinaan Loji Rawatan Air Sanglang berkapasiti 100MLD dan pembinaan submarine pipeline ke Langkawi oleh Ranhill Hajara Utilities JV dengan kos RM600 juta secara Private Fund Initiative (PFI) dengan tempoh bayaran balik selama 25 tahun telah mendapat kelulusan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah SADA pada 23 Oktober 2017. 

Padahal, untuk program pembangunan bekalan air ke Langkawi, KETTHA telah bersetuju memberi peruntukan geran berjumlah RM593 juta untuk membina Off River Storage (ORS) dalam RMK-11 untuk mencukupkan keperluan bekalan air di Pulau itu.

Mengapa projek PFI RM600 juta yang mengambil masa 25 tahun untuk dibayar balik ‘menang’ pada pertimbangan ALP berbanding geran persekutuan RM593 juta yang tidak perlu dibayar balik?

Adakah kerana projek-projek baru dapat dicipta, dapat dikawal sepenuhnya dari Alor Setar, mendapat habuan untuk dimakan bersama anak cucu dan kawan-kawan – berbanding geran dan pembinaan ORS yang ditender dan ditentukan oleh mekanisme kewangan yang ketat dari Kuala Lumpur?

Adakah projek berhutang yang ditentukan sendiri – tentang siapa, bila, berapa dan bagaimana – lebih mustahak daripada matlamat membekalkan air yang mencukupi untuk rakyat Kedah di Langkawi?

Sejarah penswastaan air ke Langkawi kepada Taliwork (Langkawi) Sdn Bhd juga menggunakan kaedah yang sama pada tahun 1990. Kedah berhutang ratusan juta dengan kerajaan pusat, membina LRA Sg Baru, membina submarine pipeline 46 kilometer dan membina infrastruktur air yang lain di Langkawi, tetapi diswastakan pengurusan bekalan kepada Taliwork milik pemimpin Parti Gerakan.

Kerajaan (SADA) terpaksa membayar sehingga RM1.30 setiap m³ kepada pemegang konsesi, tetapi hanya dapat memungut bil RM0.50 setiap m³ daripada pengguna. Penswastaan bodoh ini dipersetujui dan diikat selama 30 tahun.

Lebih pandir lagi bila hutang pembangunan infrastruktur ratusan juta itu dihempaskan atas kerajaan negeri. Perjanjian ini umpama pisau, kerajaan negeri pegang mata, swasta pegang hulu, tarik berdarah, sorong pun berdarah. Diamlah selama 30 tahun.

Siapa yang ‘bertembolok besar’ dalam ALP SADA?

ALP SADA dipengerusikan Oleh YAB Menteri Besar Kedah, dianggotai oleh beberapa orang Wakil Rakyat BN (antaranya Kuala Nerang dan Pantai Merdeka), Pegawai Kanan Kerajaan Negeri (SUK dan SFO) , pesara pegawai kanan kerajaan dan CEO SADA. Mereka datang dan mengangguk dalam mesyuarat untuk apa?

Kalau tembolok mereka normal, mereka hanyalah ‘yes man’ yang menunggu untuk mematuk fee ALP, elaun mesyuarat, duit raya dan habuan melancong tahunan. Hanya mampu bercakap untuk diri sendiri, bukan untuk negeri dan rakyat lagi.

Jika setiap titisan air sangat berharga, setiap sen duit negeri ini juga ada nilainya. Jangan kikis warisan untuk generasi masa depan untuk dihabiskan oleh beberapa kerat manusia pada hari ini. Ini semua khianat namanya.

Saya harap PFI ini dapat ditewaskan dalam pertimbangan rakyat Kedah pula. Jangan menambah lagi beban sedia ada kepada anak cucu kita.