Home Artikel PAS Kedah

Program tahunan Gunting Rambut Percuma ADUN Ayer Hitam berjalan dengan jayanya

191
SHARE

AYER HITAM, 25 Disember 2019 – Seramai hampir 40 pelajar yang berumur antara tujuh hingga 18 tahun di dalam DUN Ayer Hitam, Jerlun menyertai program gunting rambut secara percuma sempena program “back to school” bagi meringankan bebanan keluarga yang berpendapatan rendah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, YB Haji Azhar Bin Ibrahim memaklumkan inisiatif itu dapat menampung sedikit perbelanjaan keluarga yang kurang berkemampuan terutama yang mempunyai ramai anak bersekolah menjelang sesi persekolahan baru.

“Kita mendapati ada keluarga mempunyai ramai anak yang masih bersekolah dan mereka terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk menggunting rambut sahaja sedangkan masih banyak perbelanjaan yang perlu digunakan untuk perkara lain.

“Melalui program gunting rambut ini, kita memberikan perkhidmatan secara percuma sahaja yang mana sedikit sebanyak menceriakan ibu bapa mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena program sehari anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Ayer Hitam, di Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Ayer hitam, di sini, Pagi kelmarin.

“InsyaAllah kita akan jadikan program ini sebagai acara tahunan dalam usaha membantu keluarga yang berpendapatan rendah yang masih mempunyai anak bersekolah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PKWR Ayer Hitam, Abdul Hadi Omar yang juga merupakan Ketua Pemuda PAS Kawasan Jerlun berkata, permintaan daripada ibu bapa supaya diadakan program itu amat menggalakkan sejak awal cuti persekolahan lalu.

“Kami menerima beberapa pertanyaan dari ibu bapa tentang bila program ini akan diadakan.

“Dengan itu kita membuat keputusan untuk mengadakan program sepertimana hari ini sempena cuti persekolahan yang akan tamat minggu depan, selain itu pihak PKWR juga menyediakan jamuan nasi lemak sepanjang menunggu giliran”.

“Pihak kami juga ingin mengucapkan jutaan Terima kasih kepada Uncle Baha Bee Positive Barber Shop yg sudi turun menyumbangkan tenaga dan khidmat masyarakat (CSR) kepada PKWR Ayer Hitam dan pelajar-pelajar yang terlibat, dan saya mencadangkan kepada penduduk sekitar Ayer Hitam supaya mendapatkan khidmat gunting rambut dari Kedai ini kerana perkhidmatan yang cemerlang,” katanya.