Oleh: Fadilah Nordin
10 Mei 2020
SEPANGGAR. Program Semarak Kasih Ramadan anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan, Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah (LKK DMPNS) bertujuan untuk membantu ringankan beban keluarga asnaf kawasan Sepanggar dengan kerjasama PAS Kawasan Sepanggar pada 07 Mei 2020 baru-baru ini.
Seramai 60 buah keluarga telah menerima bantuan tersebut yang terdiri daripada masyarakat Kampung Pulau Penampang dan Kampung Wak Wak, Sepanggar.
Antara barangan sumbangan yang disampaikan adalah beras, tepung, telur, bahan-bahan asas yang lain. Semarak Kasih Ramadan ini adalah program ke-6 yang telah diadakan setiap tahun.
Semasa penyampaian sumbangan tersebut, Dr Aliakbar Gulasan, Yang Dipertua PAS Kawasan Sepanggar berkata, “Kita diuji dengan kesusahan macam sekarang, anak-anak kecil tiada susu, tiada tepung untuk membuat kuih. Anggaplah ini sebahagian daripada ujian bagi kita yang hidup di muka bumi Allah Taala ini”.
Turut hadir dalam Program Semarak Kasih Ramadan tersebut adalah Azman Talib, Ketua Penerangan PAS Kawasan Sepanggar, Nur Muhammad, Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Kawasan Sepanggar serta Ummu Ahnaf, mewakili Dewan Muslimat PAS Kawasan Sepanggar.