Home Artikel PAS Johor

Program PASTI Al-Irfan Tebrau Meriah

1088
SHARE

Tebrau ,14 April 2018 : Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Pengawas, Ketua Kelas dan Penolong Ketua berlangsung meriah dengan kehadiran dan sokongan ibu bapa dari semua 13 cawangan PASTI Al-Irfan Tebrau. Walaupun meriah, ia tetap menekankan konsep bersederhana serta membawa visi untuk melahirkan anak soleh dan solehah berjiwa pemimpin yang berdisplin tinggi.

Majlis yang dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Bangsa Johor seterusnya lagu rasmi PASTI itu, kemudiannya diteruskan dengan ucapan aluan oleh Timbalan Pengerusi PASTI Al-Irfan Tebrau, Ustaz Muhammad Faiz Khalid. Antara kandungan ucapan beliau ialah tazkirah Israk dan Mikraj, merungkai maksud tarbiyah dan didikan kepimpinan kepada Rasulullah SAW melalui Malaikat Jibrail AS sewaktu Baginda diisrakkan.

Selain itu, majlis diserikan dengan ucapan Pengerusi Majlis Guru-Guru PASTI (MGP) Johor, Puan Sutinah Sariman. Ucapan yang berlangsung kira-kira 30 minit itu menerangkan secara terperinci tentang tujuan penubuhan lantikan pengawas, ketua kelas dan penolong ketua kelas serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

Sementara itu, majlis penyampaian watikah telah disempurnakan oleh Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) DUN Tiram, Encik Azman Atmin. Dalam ucapan beliau menyatakan persetujuan bahawa perlantikan ini merupakan langkah awal melahirkan bakal pemimpin seperti yang disebut dalam visi watikah ini.

Turut disediakan ialah perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma kepada para hadirin. Para hadirin juga tidak melepaskan peluang yang disediakan dan seramai 61 orang direkodkan telah mendapatkan perkhidmatan percuma tersebut.

Aturcara yang bertempat di PASTI Al-Irfan 4, Jalan Nenas, Taman Kota Masai telah bermula seawal 8.30 pagi dan berakhir jam 12.00 petang semalam. Seramai 192 orang penerima watikah telah terlibat di dalam majlis tersebut.