Home Berita PAS Negeri Sembilan

Program Jom Ke Sekolah 2022 bersama Prihatin PD

347
SHARE

Oleh ANA MUSLIMAH

PORT DICKSON,15 Feb: Program Jom Ke Sekolah anjuran Persatuan Bukan Kerajaan (NGO) Prihatin Port Dickson (Prihatin PD) telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Ustaz Idris Ahmad, di sini, petang tadi.

Program tahunan Prihatin PD tersebut telah diadakan di Dewan Sekolah Rendah Islam Intergrasi Tahfiz Darul Ulum (SRIIDU) Springhill.

Pimpinan yang turut hadir termasuklah Pengerusi Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Razali Sihabudin, Penasihat Prihatin PD, Rafiei Mustapha dan Pengerusinya, Ustaz Abdul Fatah Zakaria.

Menurut Ustaz Abdul Fatah, antara barangan sumbangan daripada Yayasan Taqwa telah diagihkan kepada 200 orang pelajar adalah barangan kelengkapan sekolah seperti pakaian sekolah, beg dan alat tulis, ‘hand sanitizer’ dan pelitup muka. Rata-rata pelajar tersebut turut ditemani oleh ibu bapa masing-masing.

Ustaz Idris Ahmad dalam ucapannya turut mengingatkan ibubapa agar dapat memastikan anak-anak tidak culas menunaikan solat serta membaca Al Quran kerana perkara tersebut boleh menjadikan anak-anak insan yang berakhlak mulia dan merekalah yang akan berbakti kepada kedua-dua orang tua di hari kemudian.

“Ibubapa perlu menitik beratkan ilmu pengetahuan semenjak anak-anak masih kecil lagi biarpun terpaksa bergolok bergadai demi melihat mereka berjaya,” ujar beliau lagi.

Pengerusi Prihatin PD terharu apabila ibu bapa yang hadir melahirkan perasan gembira kerana sumbangan yang diterima dapat membantu mengurangkan beban keluarga mereka.