Home Berita PAS Kedah

Program Himpunan Petugas Bencana Khidmat Malaysia (HEBAT) patut diberi pujian

183
SHARE

Oleh: NOR FATIN

ALOR SETAR, 13 FEB – Program Himpunan Petugas Bencana Khidmat Malaysia (HEBAT) patut diberi pujian kerana dapat memberi impak positif kepada masyarakat dalam menguruskan bencana.

Seperti sedia maklum, setiap tahun pasti kita akan berhadapan dengan beberapa bencana dan kecemasan yang di luar jangkaan. Jika tidak diberi pendedahan awal berkaitan pengurusan menghadapi bencana tersebut, nyawa akan menjadi taruhan dan keadaan akan bertambah buruk.

HEBAT adalah satu inisiatif yang dilancarkan oleh Khidmat Malaysia dalam memberi pendedahan ilmu kepada Petugas Bencana Khidmat Malaysia berkaitan pengurusan bencana bagi membantu masyarakat sekeliling.

HEBAT 4.0 yang bermula pada 10 Februari itu telah berlangsung selama tiga hari dengan jayanya di Pusat Latihan PAS Kedah, Sedim, Kulim. Program ini telah berjaya menghimpunkan seramai  170 orang peserta yang diwakili daripada sembilan buah negeri.

Pada kali ini, HEBAT 4.0 memfokuskan kepada pengurusan banjir. Peserta diberi simulasi berkaitan bencana banjir seolah-olah peserta sedang menghadapi situasi banjir yang sebenar.

HEBAT 4.0 telah dilancarkan oleh YB Siti Zailah selaku Pengerusi Khidmat Malaysia. Beliau mengharapkan agar Khidmat Malaysia terus cemerlang. Manakala majlis penutup ditutup dengan ucapan YB Dato’ Ustazah Ashah Ghazali.

Dalam ucapan beliau, beliau mengingatkan peserta berkaitan soal hati yang perlu dijaga ketika menabur bakti dalam misi bantuan bencana.

“Hati perlu ikhlas. Hati perlu bersih setiap kali turun menyertai misi bantuan. Petugas Khidmat Malaysia akan menjadi hebat jika bertugas kerana Allah dan tidak mengharapkan sebarang balasan.

“Semasa Liqa’ Fikri PAS Pusat terbaru, Ayah Chik sendiri berpesan supaya kita semua selalu melakukan aktiviti penyucian hati.” pesan beliau.

Turut hadir Ustaz Musoddak, Pengarah Khidmat Malaysia Kedah, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Ketua Pengarah Khidmat Malaysia serta barisan kepimpinan Khidmat Malaysia.