Home Rencana PAS Selangor

PRN negeri: mengulangi kegemilangan Melaka – Setiausaha BPPN Selangor

15
SHARE

May be an image of 1 person and text

Nadi Selangor by Roslan SMS | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

Oleh : Roslan Shahir Dato Mohd Shahir
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor

Atas nasihat Ketua Menteri Melaka, Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri telah bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka ke 14 pada 4 Oktober baru-baru ini. Ini bermakna satu Pilihanraya Negeri perlu diadakan oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia dalam tempoh 60 hari.

Rakyat masih menunggu pengumuman dari pihak SPR apakah PRN akan diadakan atau akan ditangguhkan sebagaimana Pilihanraya Negeri Sarawak ekoran pandemik Covid 19 ini.

Sekiranya PRN diadakan dalam tempoh 60 hari ini sudah pasti ia sangat kritikal kerana ia membuka peluang buat rakyat khasnya di negeri Melaka untuk membuat pilihan dan pilihan ini nanti dijangka akan mempengaruhi keputusan PRU ke 15 nanti.

Dalam suasana kemelut politik semasa, di bawah Perdana Menteri yang baru dan Melaka pun dengan Ketua Menteri yang baru iaitu yang kedua selepas PRU ke 14, bagaimana rekasi rakyat, adakah berpuas hati mengesahkan kepimpinan yang ada atau adakah rakyat akan kembali menaikkan Pakatan Harapan yang sebelum ini memerintah Melaka selepas PRU14.

Yang lebih menarik perhatian sebenarnya adalah bahawa PRN ini akan memaksa parti-parti membuat keputusan bagaimana mereka akan terlibat dan menyertai PRN ini nanti.

PH sudah pasti mahu menebus kembali kuasa yang mereka hilang lantaran perubahan diperingkat Pusat tempoh hari. Apabila Bersatu memilih keluar dari PH dan berama BN selain seorang wakil DAP yang keluar menjadi Bebas. Mampukah mereka mengulangi kemenangan PRU ke 14?

Cabaran terbesar sesungguhnya terletak pada BN-Umno, PAS dan Bersatu, atau antara Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

Kalau dilihat berdasarkan keputusan PRU ke 14 lalu dan mengambil kira trend khasnya dikalangan pengundi-pengundi Melayu yang solid menolak PH dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil pasca PRU 14, Umno, PAS dan Bersatu mampu mencetuskan “upset” besar dalam PRN kali ini dan sekaligus mencorak keputusan PRU ke 15 akan datang.

Ini ditambah pula dengan kelebihan Perdana Menteri ke 9 dari Umno, dan kerajaan “Keluarga Malaysia” hari ini dilihat berjaya meyakinkan rakyat akan kemampuan mereka khasnya dalam menangani pandemik Covid 19 ini apabila Malaysia melepasi kadar vaksinasi 90% dan berjaya mencecah status imuniti kelompok.

Berjaya ataupun tidak gelombang ini tercetus adalah tertakluk pada kesepakatan dan permuafakatan antara ketiga-tiga parti ini. Melaka dilihat memaksa kepimpinan ketiga-tiga parti ini untuk bertindak rasional, kemenangan pada hakikatnya hanya dapat tercapai kiranya mereka dapat bersetuju untuk mencipta pertandingan satu lawan satu menentang PH. Jika gagal, maka bersedialah untuk melihat keputusan PRU ke 14 dahulu berulang dan PH dijangka menang kembali.

Malanglah kiranya kepentingan dan agenda peribadi mengerhanai kepentingan untuk menundukkan PH dan mendominasi kerajaan negeri Melaka dengan lebih kukuh.

Kenyataan Pengerusi Umno Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, bahawa Umno Melaka terbuka pada kerjasama dengan mana-mana pihak, adalah sesuatu yang melegakan dan diharapkan dapat menjadi titik permulaan ke arah pembentukan suatu kerjasama dan persefahaman besar antara ketiga-tiga parti bagi menghadapi PRN ini.

DUN Melaka punya 28 kerusi. Dalam PRU ke 14 lalu Umno menang 13 kerusi dan Bersatu pula 2, manakala di pihak PH, DAP menang 8, PKR 3 dan PAN 2. Seorang wakil DAP iaitu ADUN Pengkalan Batu telah meninggalkan DAP dan menjadi Bebas yang mesra kerajaan.

Kiranya Umno, PAS dan Bersatu boleh bertolak ansur dan berkerjasama bagi menghadapi PRN Melaka kali ini berdasarkan keputusan PRU ke 14 lalu, kita boleh menjangkakan beberapa kerusi PH pun boleh dikalahkan.

Berdasarkan analisa Dr Kamarul Zaman Hj Yusoff, apabila dicampurkan undi BN dan PAS, PH malah boleh kalah di 5 kerusi miliknya iaitu di DUN Gadek, Durian Tunggal, Kelebang, Duyong dan Bemban.

Menariknya dari 5 kerusi itu, 3 milik DAP dan tiap-tiap satu milik PKR dan PAN. Ini akan meningkatkan jumlah kerusi “dalam tangan” buat ketiga-tiga parti sebanyak 20 kerusi iaitu lebih dari cukup untuk memerintah Melaka.

Ini tidak termasuk 4 lagi kerusi yang kombinasi undi BN dan PAS cuma kurang 1,000 undi iaitu antaranya Pengkalan Batu (526), Machap Jaya (561), Rembia (614) dan Bukit Katil (912)

Jika lantaran lonjakkan sokongan kuat dari umat Melayu khasnya di empat kerusi tambahan ini tidak mustahil “swing” akan berlaku juga mengakibatkan kombinasi 3 parti tadi boleh menang sekurang-kurangnya 24 dari 28 kerusi.

Walaubagaimanapun ia hanya boleh berlaku jika BN, PAS dan Bersatu berkompromi dan bermuafakat bagi menghadapi PRN ini.

Formula terbaik sudah pastilah memastikan kesemua kerusi menang atau “incumbent” kekal ditangan pemiliknya, ini bermakna BN kekal di 13 kerusi manakala Bersatu di 2. Baki 13 kerusi yang dimenangi DAP, PKR dan PAN bolehlah dirunding dan dibahagi-bahagi antara ketiga-tiga parti.

Jika ini berlaku PH akan goyang dan cuma mampu bertahan di kerusi-kerusi majoriti bukan Melayu sahaja.

Inilah sesungguhnya peluang terbaik buat ketiga-tiga parti untuk membuktikan kepada rakyat bahawa demi agama, bangsa dan negara Umno, PAS dan Bersatu boleh bermuafakat dan Melaka dapat diselamatkan.

Model Melaka ini yang dijangka mencatatkan kejayaan luarbiasa nanti bolehlah diikuti diperingkat yang lebih besar khususnya dalam menghadapi PRU ke 15 nanti.

Semua pihak perlu bermuhasabah dan segera mengambil inisiatif untuk menuju ke arah satu lawan satu. Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakub perlu diberi peranan untuk menyatukan ketiga-tiga parti, kerana dewasa ini kemenangan akan bertenggek pada populariti dan penerimaan besar rakyat pada kepimpinan PM.

Melaka pernah menjadi pusat kegemilangan kerajaan Melayu dirantau ini, bersama kita mengulangi kegemilangannya.

13 Oktober 2021 | 6 Rabiul Awal 1443H

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor