Home Kenyataan Media Dewan Ulamak PAS Pusat

PRK Tanjung Piai : Isyarat Jelas Rakyat Menolak PH

921
SHARE

KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat

20 Rabiul Awwal 1441  l  17 November 2019

PRK TANJUNG PIAI : ISYARAT JELAS RAKYAT MENOLAK PH

Bismillahirrahmanirrahim

1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengucapkan tahniah kepada calon BN yang mewakili pihak pembangkang dalam PRK Tanjung Piai atas kemenangan rasmi sekaligus menandakan agenda Muafakat Nasional yang melibatkan persefahaman dan kerjasama antara PAS Umno diterima oleh rakyat umumnya.

2. DUPP juga menyifatkan dengan kemenangan pihak pembangkang ini menjadi isyarat jelas di pihak rakyat yang sudah jemu dengan “permainan kotor” politik PH kerana tidak berkesudahan dengan alasan menyalahkan pihak kerajaan terdahulu sedangkan PH terus menerus gagal membawa perubahan yang sewajarnya sebagaimana yang diharapkan oleh pengundi pada PRU 14 lepas.

3. Kekalahan PH yang berturut-turut dalam siri-siri PRK di Semenyih, Cameron Highland dan Rantau sebelum ini menunjukkan bahawa keadaan PH yang ada pada hari ini sudah tidak stabil dan tidak lagi diterima oleh majoriti rakyat serta penerimaan rakyat kepada kerjasama antara dua parti politik melayu Muslim terbesar dan terlama di negara ini iaitu PAS dan Umno.

4. Pergolakan dalaman PH sedikit sebanyak menjadi faktor rakyat muak dengan sikap pimpinan PH yang bercakaran sesama sendiri demi jawatan sedangkan kebajikan rakyat masih terus terabai. Malah dalam PRK kali ini walau pimpinan utama PH turun berkempen jelas ia tidak lagi memikat hati pengundi yang sudah serik dengan kebobrokan PH sekarang ini.

5. DUPP mengajak kepada semua untuk kembali kepada asas berpolitik yang dianjurkan di dalam Islam dengan menolak segala bentuk politik yang berbaur fitnah dan memastikan persaingan dalam ruang demokrasi ini bersandarkan hujah-hujah yang benar lagi jelas.

Firman Allah SWT :

قُلۡ هَاتُوا۟ بُرۡهَـٰنَكُمۡ إِن كُنتُمۡ صَـٰدِقِینَ

Maksudnya :
Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”. – [Surah Al-Baqarah 111]

Sekian.

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh)