Home Artikel PAS Selangor

PRK PD : KEBOBROKAN PEMIMPIN KERAJAAN PH TERBUKTI BUKAN LEBIH BAIK DARIPADA KERAJAAN DAHULU

699 views
SHARE

Oleh : Ustaz Muhammad Najhan Halim

Allah SWT berfirman dalam surah As Soff ayat 2-3,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ
كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ

Maksudnya,
“…Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!
Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya…”

1. Peralihan pemerintahan Kerajaan Pusat pimpinan UMNO BN selepas pilihanraya umum ke 14 dan digantikan kepada Kerajaan Pakatan Harapan PH seolah-olah tiada apa-apa perbezaan ketara melainkan saling tuduh menuduh dan salah menyalah antara satu dengan yang lain.

2. Tambahan lagi, kerisauan dan kebimbangan baharu mulai muncul satu persatu sejak pemerintahan kerajaan baharu pakatan harapan PH di negara ini dan di beberapa negeri yang ditadbir mereka.

3. Kebanyakan perkara dan kepincangan yang pernah mereka bangkitkan dan perjuangkan oleh Pakatan Harapan ketika zaman UMNO BN memerintah, boleh dikatakan hampir kesemuanya hanya tinggal kenangan dan sengaja dilupakan dan mereka menciptakan pelbagai isu untuk mengalih perhatian rakyat daripada mengungkit dan menuntut janji manis sebelum ini.

4. Janji-janji Pakatan Harapan sempena PRU14 diakui sendiri oleh sebahagian pimpinannya adalah sekadar untuk menarik dan memperolehi undi rakyat dan bukannya atas keinginan dan kemampuan untuk dilaksanakan, malah pengakuan ini diakui sendiri oleh Pengerusi Pakatan Harapan Tun Mahathir Mohammad.

5. Bermula dengan perlantikan beberapa jawatan penting negara seperti Peguam Negara, Ketua Hakim Negara, Pengerusi SPRM, Presiden UIAM dan yang terbarunya ialah Pengerusi SPR adalah semuanya berasaskan kepentingan politik pemerintah dan bukannya seperti yang dikotakan iaitu pembebasan peranan kuasa eksekutif daripada cengkaman parti pemerintah.

6. Begitu juga janji-janji seperti penurunan harga petrol RON95, janji berkait dengan PTPTN, tol lebuhraya, penurunan harga barang dengan pemansuhan GST, pengenalan SST yang tiada kesan perbezaan kepada rakyat. Semuanya hanya sedap didengar dan hanya sekadar halwa di telinga sahaja sebelum PRU14 yang lalu.

7. Termasuklah kebimbangan baharu yang kini sedang rancak diusahakan ialah nasib kedudukan Islam yang menjadi teras hidup beragama di negara ini mulai bergoncang. Tatacara hidup diluar daripada adat resam dan budaya mulai mengorak langkah masuk dan menapak selepas pemerintahan negara dipegang oleh Pakatan harapan.

8. Isu LGBT pula menjadi tumpuan fokus Menteri Agama tetapi pada masa yang sama, isu umat Islam dan hak agama Islam sebagai agama rasmi yang termaktub dalam perlembagaan boleh dianggap tidak serius diperjuangkan dan ia diberi pelbagai alasan akal yang dangkal tanpa roh keimanan dan jati diri seorang Muslim. Apa sahaja kepentingan Islam, sebagai contoh RUU355, alasan sama dihujah seperti meraikan pelbagai kaum dan agama, ditangguh dahulu, perlu dikaji dahulu dengan seruan sedap di mulut Rahmatan Lil Alamin sahaja. Sehingga kini, ketidakpastian kedudukan dan hak Islam masih lagi kabur di tangan pemerintah Malaysia Baharu Pakatan Rakyat.

9. Kini, slogan Malaysia baharu yang dijaja oleh kerajaan Pakatan Harapan, hanyalah retorik dan seumpama manis dibibir yang tidak diterjemahkan melalui tindakan daripada apa yang pernah dan telah disemburkan oleh pemimpin pakatan harapan sebelum PRU14 yang lalu.

10. Pilihanraya kecil Parlimen P.132 Port Dickson yang dikosongkan kerusinya oleh Ahli Parlimen Danyal Balagopal untuk memberi laluan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi testimoni dan medan sebenar menguji kebenaran apa yang pernah mereka katakan dahulu.

11. Pengosongan kerusi parlimen ini sehingga terpaksa diadakan pilihanraya kecil ini adalah bukti bahawa Pakatan Harapan tidak ubah dan tidak tumpah seperti sikap pemerintah yang lepas iaitu hanya berkepentingan diri dan berasaskan daripada ketamakkan sebahagian ahli politik PH dan bukannya membela dan demi rakyat. Dikala pemimpin PH riuh seluruh dunia mengatakan negara sedang dirudung kemelesetan ekonomi dan hutang yang banyak, mereka sewenang-wenangnya mencipta PRK yang terpaksa menelan belanja berjuta ringgit. Kebobrokan apakah ini?

12. Keterdesakan untuk memastikan kemenangan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim di PRK Port Dickson oleh pemimpin PH ketika berkempen di PRK Port Dickson telah mendedahkan temberang mereka.

13. Pemimpin Kerajaan PH mengenepikan segala moral politik yang pernah mereka hemburkan kepada Kerajaan UMNO BN dahulu dan kini Pemimpin Kerajaan PH pula mengulanginya. Tak tumpah langsung.

14. Ketika Pemimpin Kerajaan PH berkempen, jentera kerajaan turut dilibatkan dan pengumuman demi pengumuman projek kepada rakyat mulai dilaungkan ketika proses berkempen. Ini menandakan bukti bahawa sikap pemimpin Kerajaan PH jauh sekali daripada apa yang mereka sendiri ucapkan.

15. Maka, rakyat dan para pengundi P. 132 Port Dickson harus disedari akan sikap sungguh bobroknya Pemimpin Kerajaan PH sekarang, yang mereka bukanlah lebih baik daripada kerajaan dahulu. Ya, sememangnya Kerajaan UMNO BN lepas harus diinsafi dengan sikap mereka, akan tetapi Pakatan Harapan juga tidak mampu mengurus kuasa dengan baik apabila diuji oleh Allah SWT dengan anugerah memegang kuasa di negara ini.

16. Benarlah, bahawa kuasa itu bukan kelebihan dan kehebatan, akan tetapi kuasa itu satu tanggungjawab dan ujian Allah SWT.

” Great Power Comes Great Responsibility ”

Undilah Calon PAS
P.132 Port Dickson
Leftenan Kolonel (B) Hj Mohd Nazari bin Mokhtar
PD Sejahtera

” Islam Memimpin ”

Penulis adalah Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat merangkap Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
5 Oktober 2018 bersamaan 23 Muharram 1440H.