Home Berita PAS Pusat

Presiden PAS Bertemu Ulama’ dan Umara’ Di Turki

1304
SHARE

Kenyataan Media Pejabat Presiden PAS

PRESIDEN PAS BERTEMU ULAMA’ DAN UMARA’ DI TURKI

1. YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS telah memenuhi jadualnya yang padat dengan bertemu para ulama’ dan umara’ terkemuka sepanjang lawatan kerjanya ke Turki pada 2-9 November 2018.

2. Program utama yang dihadiri YB Dato’ Seri adalah Muktamar Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) yang dirasmikan oleh Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Dalam muktamar kali ini, YB Dato’ Seri telah membuat keputusan untuk tidak menawarkan diri bagi memegang sebarang jawatan namun bersedia untuk terus menyumbang idea dan pandangan, malah beliau turut mencadangkan Dr Salim Segaf Al-Jufri dari Indonesia untuk menjawat jawatan tertinggi KUIS bagi pihak Asia Tenggara.

3. Antara beberapa pertemuan rasmi dan kunjungan hormat telah diadakan:

a. Pertemuan dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdoğan pada 8 November 2018 di Istanbul, bersama tujuh pemimpin tertinggi KUIS yang terpilih bagi membincangkan cabaran dan kemaslahatan umat Islam sedunia. YB Dato’ Seri turut mengambil peluang untuk berbincang mengenai politik semasa di Malaysia dan peranan yang boleh diambil oleh Turki dan Malaysia di peringkat dunia. Pertemuan khas tersebut dihadiri tetamu jemputan tanpa pengiring dan jurufoto luar.

b. Pertemuan dengan Mantan Presiden Turki, Abdullah Gül yang juga anak didik kepada Al-Marhum Profesor Necmettin Erbakan, Mantan Perdana Menteri Turki, diadakan dalam suasana penuh mahabbah dan mengharapkan hubungan yang terus akrab.

c. Pertemuan dengan Mantan Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoğlu untuk berbincang berkenaan hal ehwal semasa dunia Islam dan berkongsi pandangan terhadap politik Malaysia dan Turki.

d. Pertemuan dengan Presiden Parti Saadet, Temel Karamollaoğlu di Pejabat Parti Saadat di Ankara, bagi membincangkan cabaran dan peranan parti politik Islam di Malaysia dan Turki.

e. Pertemuan dengan Ibrahim Kalin, Jurucakap Presiden Turki bagi mengucapkan terima kasih kerana melawat YB Dato’ Seri ketika menerima rawatan di Istanbul beberapa tahun lalu, selain berbincang isu-isu semasa yang berlaku di Turki dan Malaysia.

4. YB Dato’ Seri turut menghadiri dan membentangkan kertas kerja dalam beberapa seminar dan program:

a. Menyampaikan ucaptama dalam Majlis Ramah Mesra bersama pemimpin gerakan Islam yang dianjurkan oleh Parti Saadet di Istanbul, melibatkan pemimpin dan ulama’ daripada negara Arab, Afrika, Asia Tengah dan Asia Tenggara.

b. Menjadi panelis sebuah forum yang dianjurkan dalam Persidangan Antarabangsa Ahli-Ahli Parlimen Islam (IFIP) bagi berkongsi pengalaman PAS dalam sistem demokrasi pilihan raya di Malaysia serta ijtihad politik yang diambil oleh PAS.

c. Menyampaikan Syarahan Perdana bertajuk “Masa Depan Islam: Cabaran dan Penyelesaian”, di hadapan lebih seratus ahli akademik, ahli politik, pemimpin masyarakat dan mahasiswa di Ankara. Program dianjurkan oleh Economic and Social Researches Centre (ESAM), sebuah badan pemikir terkemuka di Turki yang meneruskan legasi Al-Marhum Profesor Necmitten Erban.

d. Menyampaikan ucapan dalam Majlis Ramah Mesra bersama pelajar dan warga Malaysia di Turki, bagi memberi nasihat supaya mereka memanfaatkan masa ketika berada di Turki dengan mempelajari pelbagai bidang ilmu dan kepakaran, dan melibatkan diri dengan kumpulan Islam yang boleh mentarbiah dan membentuk peribadi Muslim.

5. Kepadatan jadual YB Dato’ Seri amat bermakna dan bermanfaat terhadap perkembangan politik semasa di Turki dan banyak lagi pertemuan-pertemuan tidak rasmi diadakan dalam ruang masa berlangsungnya Muktamar Kesatuan Ulama untuk bertukar pandangan mencari penyelesaian terhadap kemelut yang berlaku di dunia Islam dan politik antarabangsa.

6. Semoga lawatan dan pertemuan di Turki ini membawa kebaikan kepada umat Islam keseluruhannya.

“Islam Memimpin”

ABDUL MALIK AB RAZAK
Setiausaha Akhbar Presiden PAS

Bertarikh: 5 Rabiul Awal 1440 / 14 November 2018