Home Ensiklopedia Harian PAS

Pembentukan Perlembagaan PAS: Satu Asal Mula

317
SHARE


ENSIKLOPEDIA PAS 2019 
Siri 0⃣5⃣
PEMBENTUKAN PERLEMBAGAAN PAS: SATU ASAL MULA


PERLEMBAGAAN PAS atau dahulunya dikenali sebagai Undang-undang Tubuh PAS telah digubal pertama kali oleh sebuah Jawatankuasa Penaja Pertubuhan Ulamak Se-Malaya, yang ditubuhkan pada 23 Ogos 1951. Jawatankuasa Penaja ini dipengerusikan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan mempunyai dua peranan utama, iaitu untuk menggubal undang-undang tubuh pertubuhan dan mengadakan persidangan bagi mewujudkan pertubuhan tersebut secara rasmi. Setelah cadangan atau rang undang-undang tubuh ini disiapkan sebagai draf kepada Undang-undang Tubuh Pertubuhan Ulamak Se-Malaya, ia telah dibentang, dibahas dan diluluskan dengan beberapa pindaan oleh Persidangan Pertubuhan Ulamak Se-Malaya di Kelab Melayu Bagan, Bagan Tuan Kechil pada 24 November 1951. Rang undang-undang ini kemudiannya dikenali sebagai Undang-undang Tubuh PAS 1951. Setelah PAS berjaya didaftarkan pada 31 Mei 1955, ia dikenali pula sebagai Undang-undang Tubuh PAS (Pindaan) 1955. Ia telah mengalami beberapa kali pindaan sepanjang sejarah PAS, tetapi mula dikenali sebagai Perlembagaan PAS pada pindaan 1973.

“Perlembagaan” atau “undang-undang tubuh” pada asasnya memberi maksud sebagai sebuah dokumen yang mempunyai keberkesanan yang menerangkan bentuk dan fungsi-fungsi organ-organ utama sesuatu kerajaan atau badan dan menentukan prinsip-prinsip bagaimana organ-organ itu bertindak. Bolingbroke (1733) mentakrifkan perlembagaan sebagai sekumpulan undang-undang, institusi-institusi dan peradaban yang diperolehi daripada prinsip-prinsip yang ditentukan dengan alasan dan meliputi sistem am, di mana masyarakat tersebut sanggup ditadbirkan. Secara luas, perlembagaan adalah sistem kerajaan sesuatu negara atau sistem pentadbiran sesebuah badan, atau kumpulan undang-undang yang menubuh dan menyelenggarakan atau memerintah kerajaan atau badan tersebut. Di dalam PAS berdasarkan Perlembagaan PAS (Pindaan) 2011, seluruh kekuasaan dan perjalanan parti adalah bergerak mengikut syarat-syarat yang terkandung di dalam Perlembagaan PAS [Fasal 7 (2)] dan setiap ahli PAS wajib menerima dan mentaati Perlembagaan PAS [Fasal 11 (4)].

Rang Undang-undang Tubuh PAS digubal

Keputusan Persidangan Alim Ulamak Se-Malaya Kedua di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951 untuk menubuhkan Pertubuhan Ulamak Se-Malaya telah menyebabkan sebuah jawatankuasa penaja dibentuk. Jawatankuasa Penaja Lima Anggota ini dianggotai oleh lima ahli iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan sebagai pengerusi, manakala Syed Mohamad Syafie, wakil daripada Jam’iyah ad-Dakwah al-Islamiyah Kuala Lumpur dan Haji Ayub, wakil daripada Umno Bahagian Perak sebagai anggotanya, di mana mereka bertiga dilantik oleh persidangan tersebut. Dua lagi anggota telah dilantik oleh Pengerusi Jawatankuasa Penaja Lima Anggota iaitu Sardon Jubir, seorang peguam dari Singapura yang juga bekas Yang Dipertua Kesatuan Melayu Singapura (KMS) dan Haji Mohamad Amin Imran, wakil Umno Bahagian Johor Bahru / Kota Tinggi dan Mersing. Jawatankuasa ini berfungsi untuk merangka undang-undang tubuh persatuan ini, selain menaja penubuhan dan “menjalankan pekerjaan menubuhkan” Pertubuhan Ulamak Se-Malaya.

Jawatankuasa ini diberikan tempoh untuk menyediakan rangka atau draf undang-undang tubuh pertubuhan ini dalam masa tidak lewat dari empat bulan selepas persidangan pada 23 Ogos 1951 itu, dan ia perlu dibentangkan dalam persidangan akan datang di Pulau Pinang. Menjelang Persidangan Pertubuhan Ulamak Se-Malaya pada 24 November 1951, satu draf Undang-undang Tubuh Pertubuhan Ulamak Se-Malaya berjaya disiapkan dan ia disiarkan sepenuhnya di dalam Warta Negara pada 17 November 1951. Menurut Radziah Sulong (1987), struktur dan isi draf undang-undang tubuh ini dipengaruhi dengan kuat oleh Undang-undang Tubuh Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkasa) Terengganu. Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan sebelum ini adalah Setiausaha Perkasa Terengganu. Rang undang-undang 22 fasal ini pada asasnya hendak menjadikan Pertubuhan Ulamak Se-Malaya sebagai sebuah badan kebajikan Islam, di luar daripada Umno.

Kandungan Draf Undang-undang Tubuh Pertubuhan Ulamak Se-Malaya

Draf asal undang-undang tubuh pertubuhan yang dirangka oleh Jawatankuasa Penaja Lima Anggota adalah mengandungi 22 Fasal, dan mencontohi struktur dan kandungan Undang-undang Tubuh Perkasa Terengganu. Pada asasnya draf ini mengandungi penjelasan tentang cadangan nama pertubuhan (Fasal 1), cadangan tujuan pertubuhan (Fasal 2), cadangan jawatan-jawatan bagi pegawai pertubuhan, cara-cara perlantikan dan tugas-tugas mereka (Fasal 3-7), struktur mesyuarat agung (Fasal 8), perihal keahlian PAS (Fasal 9), cara-cara penubuhan cawangan-cawangan pertubuhan (Fasal 12), hal-hal yang berkait dengan pingat dan bendera pertubuhan (Fasal 16-17), tanggungjawab dan hak ahli (Fasal 22). Tentang nama pertubuhan yang dicadangkan, ketika draf undang-undang tubuhnya tersiar di akhbar Warta Negara pada 17 November 1951, nama yang dicadangkan ialah “Persatuan Ulamak Se-Malaya,” tetapi teks sebenar yang diangkat kepada Persidangan Pertubuhan Ulamak Se-Malaya pada 24 November 1951 telah mencatatkan cadangan namanya sebagai “Pertubuhan Ulamak Se-Malaya.”

Selain nama, Fasal 2 Draf Undang-undang Tubuh Pertubuhan Ulamak Se-Malaya telah menggariskan tiga tujuan penubuhan pertubuhan ini. Tiga tujuan tersebut ialah i) mewujudkan satu perikatan persaudaraan Islam untuk membentuk satu tenaga bersama bagi menyelenggarakan segala tuntutan agama Islam, ii) menumpukan ikhtiar dan tenaga bagi menyatukan perlembagaan dan pentadbiran agama seluruh Malaya, dan iii) memperkenalkan kepada umum bahawa agama Islam ialah suatu agama pergaulan dan siasah. Daripada ketiga-tiga tujuan pertubuhan ini, ia tidak menonjolkan tujuan politik, bahkan hampir tidak berbau politik, kecuali pada tujuan ketiga yang menjelaskan tujuan pertubuhan ini untuk mengembangkan kefahaman umat Islam bahawa Islam bukan semata-mata ibadat, tetapi juga politik dan kemasyarakatan. Yang lebih ketara pada tujuan ini menurut kebanyakan pengkaji adalah unsur kebajikan, seperti Perkasa Terengganu berperanan sebagai sebuah badan kebajikan Islam di Terengganu. Secara tekstual, elemen kebajikan juga sebenarnya tidak menonjol, sebaliknya tujuan kedua yang mahu menyatukan pentadbiran agama adalah menjadi tujuan asasi penubuhannya. Maka, tujuan untuk menyatukan persaudaraan Islam itulah yang dikaitkan dengan soal kebajikan tersebut.

Asas tujuan penubuhan

Walaupun ada pengkaji yang mengaitkan undang-undang tubuh ini dengan Undang-undang Tubuh Perkasa Terengganu, namun begitu secara realiti, setiap cadangan tujuan itu diangkat berdasarkan spirit atau semangat untuk menyelesaikan konflik umat Islam pada masa tersebut. Antara isu yang mempengaruhi setiap tujuan tersebut ialah:

I. Keadaan umat Islam yang berpecah, terutama para ulamaknya yang dilaga-lagakan oleh penjajah telah membawa kepada kelemahan umat yang sangat parah. Bukan sahaja umat Islam hilang kekuatan kerana ada dalam kalangan mereka menganut pelbagai aliran ideologi, tetapi para ulamak juga tersepit dalam isu kaum muda kaum tua, selain isu Darah Keturunan Keling (DKK) dan darah keturunan Arab (DKA). Hal ini telah ditegaskan dalam tulisan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dalam Suara Umno keluaran 1 Jun 1951 yang bertajuk “Ulamak Malaya Belum Bersatu dan Tidak Punya Persatuan.” Dalam ucapan pembukaan Persidangan Pertubuhan Ulamak Se-Malaya pada 24 November 1951, beliau menyatakan “Kita (para ulamak) menjadi seperti sampah kerana tidak bersatu.” Kerana itulah, pertubuhan ini meletakkan penyatuan umat Islam sebagai tujuan utamanya sehingga ia menjadi kekuatan bagi menuntut kemerdekaan, melaksanakan tuntutan agama bagi menegakkan hukum Allah dan menjadikan negara ini Negara Islam.

Dalam soal ini, para ulamak telah melihat tekanan-tekanan yang dihadapi oleh umat Islam selepas penjajahan Palestin, pembunuhan Hassan al-Banna di Mesir, pembunuhan Tuan Guru Haji Sulong al-Fathani, kes murtad Natrah di Singapura dan serangan ke atas gerakan Darul Islam di Indonesia, sebagai satu kesan besar daripada perpecahan dan kelemahan umat Islam. Dalam konteks tempatan sendiri, telah wujud kebimbangan para ulamak terhadap perubahan Umno dari memperjuangkan Melayu kepada kemerdekaan, setelah parti itu diresapi oleh orang-orang kiri selepas 1948. Kemungkinan Umno akan diharamkan seperti Partai Kebangsaan Melayi Malaya (PKMM) memang ada, lalu penubuhan badan ulamak ini merupakan persediaan dalam menyatukan umat Melayu Islam jika Umno diharamkan. Turut menjadi kebimbangan ialah sekiranya British menggunakan ulamak pejabat agama untuk mengeluarkan fatwa mewajibkan taat kepada British sebagai ulil amri dan khalifatullah, seperti yang berlaku di India, maka badan ulamak ini akan menjadi benteng untuk menyanggahi fatwa tersebut. Selain itu, pertubuhan yang baru ini diharapkan dapat mengimbangi dan menasihati Umno supaya tidak melanggar hukum Allah seperti menganjurkan loteri dan fun fair. Langkah-langkah penyatuan umat untuk membolehkan tuntutan Islam ditaati menjadi tujuan kewujudan pertubuhan ini.

II. Sejak selepas Perang Dunia Kedua, isu yang paling besar dalam kalangan ulamak ialah wujudnya majlis-majlis agama di setiap negeri Melayu dengan undang-undang pentadbiran agama negeri masing-masing telah menyulitkan umat Islam. Misalnya peraturan nikah kahwin yang berbeza, hari permulaan puasa yang berbeza, hari raya yang berbeza dan seumpamanya telah menyebabkan keadaan umat Islam menjadi berpecah dan lemah. Isu-isu pendidikan tinggi Islam, pengurusan haji, harta wakaf, zakat dan sebagainya juga bermasalah. Para ulamak menubuhkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947 antara lain bertujuan menangani masalah ini. Hal ini menjadi perjuangan Hizbul Muslimin dan turut menjadi resolusi utama Persidangan Alim Ulamak Malaya Kali Pertama di Muar pada 21-22 Februari 1950 dan juga Persidangan Alim Ulamak Malaya Kali Kedua di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951. Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dalam Suara Umno keluaran 15 Februari 1951 telah menulis tentang isu “Menyatukan Pentadbiran Agama di Malaya.” Oleh sebab persidangan di Kuala Lumpur itu yang memutuskan penubuhan Pertubuhan Ulamak Se-Malaya, maka perkara penyatuan pentadbiran agama menjadi tujuan besarnya.

III. Semenjak kejatuhan Khilafah Othmaniyyah pada 1924, pemikiran sekular yang memisahkan agama dari kehidupan telah berkembang pesat dalam kalangan umat Islam, terutama yang berpendidikan barat. Mereka menganggap Islam hanya agama ibadat dan perbuatan mencampurkan politik dengan agama akan mengotorkan agama. Fahaman ini merebak di kalangan umat Islam di Tanah Melayu, terutama setelah tersebarnya ideologi-ideologi barat. Orang Islam sendiri mendukung faham kebangsaan, faham sosialis, faham demokrasi, faham kapitalis dan lain-lain kerana menganggap kehidupan bermasyarakat dan urusan politik tidak terkait dengan dosa pahala. Fenomena ini telah menyebabkan tokoh ulamak terkemuka di Mekah, Sheikh Abdul Kadir al-Mandili telah menuliskan kitab Islam: Agama dan Kedaulatan dan Pendirian Agama Islam Daripada Kaum Feudal dan Kapitalisme dan Sosial dan Komunisme untuk memperbetulkan pemikiran umat Islam. Lalu penubuhan badan ini bertujuan mengambalikan umat Islam ke atas landasan agama yang sebenar iaitu Islam sebagai agama yang syumul meliputi juga soal kemasyarakatan dan politik.

Mohd Fadli Ghani
Institut al-Balaghul Mubin
27 Zulkaedah 1440H/ 30 Julai 2019
Facebook: https://www.facebook.com/mohdfadlighani/
Telegram: https://t.me/drmohdfadlighani