Home Minda Presiden

Politiking untuk menyingkirkan Islam

199
SHARE

Minda Presiden PAS
POLITIKING UNTUK MENYINGKIRKAN ISLAM


Politik Tunisia terkini yang sedang hangat dan panas, mengesahkan telahan banyak pihak bahawa hanya kerajaan Islam sekular sahaja yang diizinkan bergerak. Maka, sebarang perubahan yang menunjukkan hala tuju untuk kembali ke arah Islam akan dihalang.

Dahulu pernah berlaku satu usaha rampasan kuasa di Turki yang telah gagal, tetapi modus operandinya pada hari ini adalah tetap sama dengan tujuan menyekat kemaraan Islam. Namun begitu, musuh Barat berjaya menjatuhkan kerajaan Mesir yang telah dipilih oleh rakyat secara sah melalui demokrasi yang sebenar. Walau bagaimanapun, demokrasi yang diamalkan oleh Barat mengharamkan apa jua pengaruh Islam yang dijangka akan berkuasa semula.

Kerajaan campuran Tunisia telah didominasi oleh Parti al-Nahdah yang berteraskan Islam, dan menjadi parti yang paling berpengaruh dalam kerajaan. Apakah percaturan yang telah menggulingkan kerajaan Mesir yang dipilih oleh rakyat bersama mantan Presiden Mesir, Almarhum Dr. Muhammad Morsi dahulu, akan berulang sekali lagi di Tunisia dengan pendekatan yang berbeza tetapi tujuannya yang sama? Begitulah langkah rampasan kuasa yang gagal di Turki dan sebaliknya berjaya dilakukan di Mesir.

Langkah yang sama tujuannya telah menjatuhkan kerajaan yang dikuasai oleh Majlis Syura Muslimin (Masyumi) di Indonesia pada tahun 1955, dan juga telah membatalkan Pilihan Raya Majlis Perbandaran di Algeria pada tahun 1990. Termasuklah langkah untuk menggagalkan penubuhan kerajaan Islam di Afghanistan dan lain-lain.

Konsepnya sama sahaja, iaitu diizinkan kerajaan Islam sekular wujud sepertimana pembahagian kuasa yang diamalkan oleh penjajah British di Tanah Melayu dahulu dan penjajah lain di negeri-negeri umat Islam yang menjadi tanah jajahan masing-masing. Ketika itu, raja-raja yang menjadi ketua agama dan umat Islam tidak berkuasa penuh, dan mereka hanya berkuasa dalam hal ehwal agama yang dihadkan tanpa kuasa untuk mentadbir negara sepenuhnya.

Umat Islam yang mengalami masalah yang sama ketika zaman penjajahan dan negara-negaranya yang mengekalkan konsep tersebut, terus tidak bangkit untuk menjadi negara yang maju dan kuat. Sebenarnya itulah bentuk penjajahan baharu dengan pendekatan baharu yang dilaksanakan, sekadar untuk menyekat penentangan umat Islam terhadap penjajah asing yang telah ditukar dengan penjajah tempatan yang dibentuk oleh mereka.

Akibatnya, walaupun penjajah asing itu sudah pulang ke negeri masing-masing, tetapi agenda penjajahannya masih tetap berlangsung hingga hari ini. Pengaruh dalam lapangan politik, ekonomi dan budaya yang ditinggalkan, diteruskan pergantungannya dengan bekas penjajah masing-masing.

Kita menyaksikan betapa negara Kesatuan Eropah (EU) dan sekutu Barat terus menjadi negara besar yang maju dan kuat, dengan sumber kekayaan dan tenaga manusia daripada negara umat Islam.

Adapun dunia Islam yang luas wilayahnya, ramai tenaga manusianya, banyak hasil buminya, dan kedudukannya yang strategik dalam peta dunia tidak mampu menjana semula kekuatan untuk menjadi bangsa yang mulia dan perkasa.

Kini, kita menyaksikan kebangkitan semula Islam dan merudumnya kekuatan negara besar penjajah. Namun begitu, mereka tetap menghalang segala usaha untuk kembali semula kepada Islam yang sedang diperjuangkan di seluruh negara umat Islam termasuklah di Malaysia.

Kita telah berjaya mencetuskan kesedaran, apabila dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu ditubuhkan kerajaan sekular yang didominasi oleh kalangan bukan Islam dan seluruh kumpulannya. Sehingga kumpulan Islam yang terpengaruh dengannya tidak lebih daripada sekadar menjadi khadam setelah menjadi pejuang. Mereka ikut serta bersuara melindungi perancangan kerajaannya yang secara halus melumpuhkan Islam dan umatnya, supaya terus berada dalam kelekaan atau menjadi syaitan bisu.

Walaupun begitu, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana telah berjaya menyatukan parti-parti umat Islam dan bumiputera (UMNO, PAS dan BERSATU) di samping parti-parti bukan Islam yang menolak pendekatan ekstrem. Sehingga akhirnya berjaya menubuhkan kerajaan campuran Perikatan Nasional (PN) kerana menyedari pendekatan ekstrem tidak akan mampu menyelamatkan negara dan rakyat. Bahkan ternyata kelemahan Pakatan Harapan (PH) ketika memerintah dalam masa yang singkat bersama kemenangan yang rapuh dan penuh dengan penipuan.

Justeru, penguasaan kerajaan PN yang menunjukkan perubahan positif akan dicabar, kerana dominasi umat Islam dan kalangan yang tidak ekstrem itu dibimbangi dapat menyelesaikan banyak masalah yang akan membina semula kekuatan umat.

Maka, sudah pasti wujudnya gerakan untuk menjatuhkan kerajaan PN dengan segala cara. Oleh itu, seluruh rakyat yang sedar dan insaf terutamanya para pemimpin negara, janganlah ditipu lagi dan hendaklah menghalang anasir-anasir perosak yang berpakat untuk menyingkirkan Islam dalam negara.

Pada masa yang sama, hendaklah bersiap-sedia menghadapi sebarang kemungkinan supaya rancangan yang sedang berlangsung di beberapa negara yang disebutkan di atas, gagal dibawa masuk ke negara kita. Apatah lagi adanya ejen-ejen yang bersedia melakukannya dan tidak seharusnya masih dibiarkan berkeliaran.

Kalau dahulu ditipu oleh penjajah British, janganlah pula hari ini berulang ditipu sehingga berkali-kali.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 20 Zulhijjah 1442 / 30 Julai 2021