Home Rencana PAS Johor

Politik Islam : Kesejahteraan dan kebajikan rakyat adalah keutamaan

414
SHARE

Firman Allah S.W.T :

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ.

Mafhumnya : “Dan tidaklah Kami (Allah S.W.T) mengutuskan kamu (wahai Muhammad S.A.W), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”.

Surah Al-Anbiya’ : 107

Perutusan Nabi Muhammad S.A.W adalah sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam. Rahmat yang dimaksudkan adalah rahmat Islam dan Iman yang mengatur kehidupan manusia di segala lapangan.

Islam mengatur kehidupan manusia dalam menjaga perhubungan dengan Allah dan perhubungan dengan sesama manusia. Ianya bertujuan menjaga kemaslahatan hidup manusia di dunia dan di akhirat.

Islam menolak kemudaratan dan punca yang membawa kepada kemudaratan. Perpecahan lebih hampir kepada kemudaratan manakala perpaduan lebih hampir kepada maslahah (menjaga kepentingan) umum dan asas kekuatan.

Sabda Rasulullah S.A.W :

‏ لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ.

Mafhumnya: “Tidak boleh memudharatkan dan tidak boleh membalas mudharat dengan mudharat”.

Riwayat Ibnu Majah

Berdasarkan hadis di atas, Islam sama sekali menolak sebarang pintu kemudaratan yang boleh menjerumuskan masyarakat kepada bencana. Islam juga menolak perkara yang menyemarakkan kebencian dan perasaan dendam.

Dalam situasi sekarang, keutamaan masyarakat adalah kembali membina kesejahteraan sosial dan memulihkan ekonomi setelah dua tahun diuji dengan penularan covid – 19.

Usaha ke arah pemulihan ekonomi dan mengembalikan kesejahteraan negara dan rakyat adalah sepatutnya menjadi pilihan utama berbanding dengan kepentingan lain termasuklah kepentingan peribadi dan perebutan kuasa.

Namun dalam mendepani Pilihanraya Negeri PRN Johor, PAS Johor menyeru semua lapisan masyarakat Bangsa Johor agar dapat menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin yang mengutamakan kebajikan rakyat dan tidak sanggup memperjudikan nasib rakyat demi kepentingan politik sempit. Usah lepaskan peluang untuk keluar mengundi demi masa hadapan yang lebih terjamin.

Abu Irfan Muhammad Al-Urduni
Ketua Penerangan
PAS Negeri Johor