Home Artikel PAS Melaka

PJ PAS Melaka Ucap Terima Kasih Menteri MPIC Bantu Mangsa Ribut Felda Hutan Percha

466
SHARE

 

Oleh : Anas Abdullah

ALOR GAJAH : Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamaruddin Sedik mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi (MPIC) Malaysia, YB Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali atas peruntukan yang diberikan untuk membantu mangsa ribut di Felda Hutan Percha.

Bantuan tersebut yang berupa wang tunai sebanyak RM750 dan kit makanan bernilai RM50 diserahkan kepada 28 keluarga di Felda Hutan Percha yang terlibat dalam satu kejadian ribut pada 2 April lepas.

Nilai bantuan keseluruhan berjumlah RM22400 itu adalah atas usaha Badan Perhubungan PAS Melaka dan disalurkan oleh pihak kementerian kepada Kerajaan Negeri Melaka.

Bantuan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Haji Sulaiman Ali dalam satu program penyerahan bantuan kepada penduduk Felda di Dewan Orang Ramai Hutan Percha Melaka di sini pagi semalam.

Kamaruddin yang juga Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka ketika ditemui Wartawan Rakyat Melaka (WARM) seusai program itu menyifatkan program tersebut sebagai berjaya dan merupakan satu usaha kerajaan Perikatan Nasional dalam membantu meringankan beban rakyat.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada YAB Ketua Menteri atas kesudian menyampaikan sumbangan pada pagi ini.

“Kita faham bahawa sumbangan ini tidak dapat menggantikan sepenuhnya kerugian yang ditanggung oleh mangsa ribut ini. Tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka.

“Dengan usaha seperti ini saya lihat persepakatan kita dalam Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional semakin kuat.” ujar beliau.

Dalam majlis yang sama juga pihak Felda turut menyampaikan sumbangan untuk lima kawasan Felda dalam Negeri Melaka. Sumbangan berupa kit makanan bernilai RM50 setiap satu itu disampaikan oleh Pengarah Besar Felda Dato’ Dr. Othman Omar kepada 1773 penerima dari kalangan peneroka Felda.

Turut hadir di dalam majlis itu ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka Ustaz Wan Zahidi Wan Ismail dan Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah Ustaz Syahbudin Senin.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)