Home Berita PAS Kedah

Pindaaan AUKU: Masih ada Universiti tidak benarkan mahasiswa berpolitik

163
SHARE

TERLEBIH dahulu dalam ucapan perbahasan sulung saya di Dewan yang mulia ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera yang terlibat dalam memberikan kemenangan Perikatan Nasional di Padang Terap dan khususnya pengundi-pengundi Padang Terap yang telah memilih Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Umum yang lalu. Kemenangan Perikatan Nasional di Padang Terap telah menempa sejarah yang unik dengan kemenangan yang besar, tetapi yang lebih besar daripada itu ialah amanah yang saya pikul ini untuk membawa suara rakyat Padang Terap.

Harapan orang kampung, harapan anak muda untuk diangkat di Dewan yang mulia ini. Insya-Allah, dengan berkat doa orang-orang yang susah, para alim ulama, orang kampung, saya rasa ada kekuatan untuk menggalas amanah rakyat yang berat ini. Terima kasih sekali lagi kepada semua pengundi Padang Terap. Terima kasih juga kerana anda sentiasa mendoakan saya, amin ya rabbal alamin.

Tuan Yang di-Pertua, Perlembagaan Persekutuan jelas meletakkan suatu kedudukan yang tinggi dan istimewa kepada Melayu dan Bumiputera serta agama Islam tanpa sesekali menafikan hak dan kedudukan bangsa lain. Oleh itu, pemimpin Melayu Islam dan Bumiputera perlu terus mengemudi dan menguasai kerajaan bagi mengangkat suara majoriti rakyat yang merangkumi lebih 60 peratus daripada penduduk di negara ini.

Alhamdulillah, Pilihan Raya Umum yang lepas menyaksikan Perikatan Nasional mendapat lebih 54 peratus undi daripada kalangan orang Melayu Islam berbanding Pakatan Harapan hanya memperoleh sekitar 11 peratus sahaja undi orang Melayu. Menurut satu sumber, analisis kajian yang dibuat rakyat melihat sepatutnya lah, Perikatan Nasional lah yang patut menerajui negara pada hari ini.

Dalam hal ini, Padang Terap ingin menzahirkan hasrat dan pengharapan supaya pihak kerajaan yang diterajui oleh Yang Amat Berhormat Tambun mestilah meletakkan keutamaan kepada agenda pemerkasaan Melayu Islam dan Bumiputera. Baik daripada soal kepimpinan, mahupun dalam soal polisi dan pelaksanaan. Melayu Islam mesti memimpin dan segala langkah yang diambil oleh kerajaan haruslah meletakkan kepentingan Melayu Bumiputera serta agama Islam sebagai satu keutamaan. Kerajaan Yang Amat Berhormat Tambun juga tidak seharusnya lemah longlai dan mudah tunduk kepada sebarang tuntutan mahupun desakan mana-mana pihak yang jelas mengancam kepentingan Melayu Islam.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh tentang isu-isu yang berkaitan dengan mahasiswa. Banyak isu yang berkaitan dengan mahasiswa, isu yang berkaitan dengan undang-undang. Mahasiswa merupakan bakal pemimpin negara. Hari ini pimpinan Gabungan Mahasiswa Islam Se- Malaysia (GAMIS) datang berjumpa saya di Parlimen untuk saya suarakan harapan dan perjuangan mereka. Jadi, untuk pemerkasaan mahasiswa, saya ingin menekankan satu isu tentang Akta Kolej dan Universiti 1971 (AUKU) yang telah dipinda dengan pemansuhan seksyen 15(2)(c) yang menghalang mahasiswa berpolitik di dalam kampus. Isunya ialah perlaksanaan pindaan ini yang dilihat tidak menyeluruh di sebahagian besar IPTA. Masih terdapat universiti yang tidak membenarkan mahasiswa berpolitik menurut beberapa sumber yang saya temui.

Saya juga berharap mahasiswa tidak dikenakan intimidasi jika mereka berpolitik di kampus atau mereka terlibat dengan politik kepartian di luar kampus. Apatah lagi hari ini kita mengangkat agenda Undi 18, besar harapan mahasiswa yang saya bawa ini. Sedih melihat sebahagian mahasiswa yang masih dibelenggu dengan sindrom ketakutan dan fobia untuk melibatkan diri di pentas politik ekoran ada sebahagian daripada mereka dikenakan tindakan intimidasi.

Bagaimana kita hendak melahirkan pemimpin negara yang berani, lantang jika ruang latihan mereka di kampus masih terhad dengan benteng-benteng dan sekatan lama yang masih wujud. Saya juga menyeru agar kebebasan mahasiswa dapat dijamin oleh kerajaan terutama dalam soal aktiviti dan partisipasi politik di kampus. Mahasiswa perlu diberi ruang yang lebih dan peluang untuk menzahirkan idea mereka kepada mana-mana pihak. Budaya wacana harus disuburkan seawal di IPTA dan IPTS.

Saya mengulangi ucapan Yang Amat Berhormat Tambun dalam sebuah majlis baru-baru ini bahawa mahasiswa bebas untuk memberikan kritikan serta menyuarakan pandangan mereka untuk menegur kerajaan. Harap-harap semangat kebebasan yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Tambun ini disambut baik oleh institusi pengajian tinggi dalam negara kita.

Saya juga berharap agar mahasiswa dibenarkan memanggil ahli-ahli politik termasuk kami di meja pembangkang untuk mengadakan dialog, wacana dan forum di universiti-universiti di seluruh negara. Pada masa yang sama, kerajaan harus memberikan autonomi untuk pimpinan mahasiswa di universiti dalam menguruskan hal ehwal mereka di kampus.

Tuan Yang di-Pertua, saya meneliti ucapan perbahasan daripada Yang Berhormat Sungai Petani yang telah meremehkan usaha yang dibuat oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan Kerajaan Negeri Kedah untuk mengatasi masalah bekalan air di Kedah, seolah-olah mereka tidak mengambil tindakan yang sewajarnya. Janganlah Yang Berhormat Sungai Petani meremehkan usaha yang telah dibuat oleh SADA dan kerajaan negeri dalam isu bekalan air semata-mata Yang Berhormat Sungai Petani merupakan wakil tunggal daripada Pakatan Harapan di Kedah, berbanding 14 buah kerusi lain yang diwakili oleh Perikatan Nasional.

Yang Berhormat Sungai Petani haruslah menjaga nama baik Kedah jika betul-betul Yang Berhormat Sungai Petani anak Kedah. Kerajaan Negeri Kedah amat peka masalah air sekian lama membelenggu rakyat Kedah. Masalah bekalan air di Kedah berpunca daripada keadaan paip di bawah tanah yang telah berusia terlalu lama dan uzur perlu diganti menjadi sebab utama masalah air tidak terhasil dengan peratusan yang tinggi, masalah loji rawatan air (LRA) yang memerlukan naik taraf simpanan kapasiti air.

Semua isu ini telah diambil tindakan oleh SADA dan kerajaan negeri secara efektif semenjak Perikatan Nasional mengambil alih kerajaan pada 17 Mei 2020. Rakyat Kedah hari ini melihat usaha besar yang dibuat oleh kerajaan negeri yang diterajui oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi sekarang. Semasa zaman PH usaha ini terbantut kerana PH sebelum ini telah mengubah dasar yang menyebabkan pelan menaik taraf loji rawatan air tertangguh.

Tuan Yang di-Pertua, akhir sekali Padang Terap dalam Rancangan Tempatan Daerah Kedah 2035 telah meletakkan daerah Padang Terap sebagai pusat agromakanan dan industri getah berteknologi tinggi. Sebagai daerah ketiga terbesar di negeri Kedah yang terletak bersebelahan dengan sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand di Durian Burung, Padang Terap dilihat sangat berpotensi menjadi sempadan utama bandar, sempadan utama negara setanding dengan Bukit Kayu Hitam.

Oleh sebab itu, hari ini saya hendak tekankan tentang ekonomi utama rakyat Padang Terap sebelum kita bercakap tentang industri berteknologi tinggi iaitu tentang getah. Ramai yang bercakap soal getah daripada kalangan wakil-wakil rakyat di sini. Bila disebut soal getah harapan dan tuntutan utama pekebun kecil dan para penoreh di Padang Terap bahkan di seluruh negara ialah tentang harga lantai getah.

Saya menyaksikan sendiri kesusahan hidup golongan ini di daerah saya. Mereka terpaksa bergolok gadai untuk meneruskan kehidupan kerana pendapatan daripada hasil jualan getah sekerap tidak mampu menanggung kos sara hidup, kos pengajian anak dan pelbagai kos-kos yang lain. Ada orang kampung yang terpaksa gadai barangan kemas, rantai, gelang tangan, ada yang tebal muka berhutang barangan keperluan di kedai runcit. Ada yang menahan malu membeli beras satu kilo berbungkus dalam plastik kerana tidak cukup wang untuk membeli. Ada yang meminjam wang daripada ahli keluarga dan yang terpaksa meminta bantuan daripada Yang Berhormat itu jangan ceritalah. Ada yang terpaksa berniaga sambilan jual air, jual kuih, jual macam-macam. Sebulan menoreh hasil pendapatan secara purata tidak sampai RM500 sebulan.

Oleh sebab itu, saya ulangi desakan pelbagai pihak sebelum ini supaya kerajaan menaikkan harga lantai getah kepada RM3.50.

Akhir sekali Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh tentang di Padang Terap ada satu projek yang besar yang dinamakan Bandaraya Getah ataupun Kedah Rubber City. Kedah Rubber City yang telah dilancarkan oleh Yang Berhormat daripada Bera pada tahun lalu. Kedah Rubber City, menoreh getah di Padang Terap yang mampu menarik pelaburan RM10 bilion yang sekarang ini di fasa pertama.

Isu yang berlaku di situ ialah iaitu infrastruktur jalan daripada Pokok Sena ke Kuala Nerang yang saya difahamkan jalan ini perlu dinaik taraf dan diperluaskan dan kerajaan negeri Kedah telah memohon kepada Kerajaan Persekutuan jalan ini dinaik taraf yang bernilai RM600 juta. Saya berharap jalan daripada Pokok Sena ke Kedah Rubber City ini dapat dipertimbangkan oleh Kerajaan Pusat demi memastikan Kedah Rubber City ataupun Bandaraya Getah, kilang getah terbesar dunia akan dibina di Padang Terap dapat direalisasikan.

Petikan ucapan Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 20 Februari 2022.

HARAKAHDAILY 21/2/2023