Home Berita PAS Pahang

Pimpinan baru Pemuda lonjak gerak kerja PRU15 Pahang

116
SHARE

Oleh: ZARIMI SHUBRAWI

KERDAU, 23 Okt. :: Dewan Pemuda PAS Pahang baru sahaja selesai melangsungkan Muktamar Tahunan Ke-39 bertempat di Kompleks Al-Makmur, di sini hari ini.

Muktamar tersebut dilaksanakan sebagai tanggungjawab bagi sebuah entiti di dalam PAS yang merupakan parti berdaftar.

Pada muktamar kali ini juga diadakan pemilihan saf kepimpinan baharu bagi sesi 2021-2023.

Ustaz Aireroshairi Roslan dari Kawasan Kuala Krau telah dipilih sebulat suara sebagai Ketua Pemuda PAS Pahang menggantikan YB Ustaz Zakhwan Ahmad Badarddin yang telah tamat umur kepemudaan yang dibenarkan.

Manakala Timbalan Ketua Pemuda pula disandang Ustaz Mohd Zarimi Abu Zih dan Naib Ketua Pemuda disandang Dr Firdaus Ismail yang telah dipilih sebulat suara atau menang tanpa bertanding.

Dalam ucapan penangguhannya Ustaz Aireroshairi mengulangi komitmen PAS dalam membawa agenda penyatuan ummah dalam arena politik umat Islam di Malaysia.

“Ummah mesti bersatu demi menyelamatkan Malaysia kepada ke arah yang lebih baik. Muafakat pasti akan membawa berkat,” tegas beliau.

Selain itu beliau juga berpesan agar para pemuda PAS dapat memberikan fokus kepada program tarbiah dan majlis ilmu, dalam masa yang sama meneruskan gerak kerja pilihanraya bagi memastikan Islam terus memimpin ummah di negara ini.

Manakala Ustaz Zarimi pula mengambil kesempatan mengajak semua pemuda di kalangan masyarakat agar bersama-sama dengan Pemuda PAS dan menjadikannya sebagai satu wadah politik, dakwah dan tarbiah dan dalam masa yang sama berpeluang untuk terus menimba ilmu dan pengalaman di dalam PAS.