Home Artikel Dewan Ulamak PAS Pusat

Piagam Muafakat Nasional Untuk Kestabilan Negara

175 views
SHARE

Piagam Muafakat Nasional yang ditandatangani pada 14 September 2019 antara PAS dan UMNO adalah satu sejarah baru negara apabila dua parti Melayu Islam terbesar dengan rasminya bekerjasama. Puluhan tahun dua parti Melayu Islam ini bergaduh akhirnya mampu duduk di atas pentas yang sama menyatakan keazaman untuk bersama membawa agenda ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk. Piagam ini telah disambut oleh musuh politiknya dengan label klepto-teokrasi, talibanisme, rasisme dan ekstrimisme.

Walau apa pun label yang cuba ditonjolkan bagi memberi persepsi buruk terhadap kerjasama tersebut, ia tidak sama sekali memberi kesan terhadap tujuan murninya. Piagam ini adalah bertujuan untuk mengembalikan semula kekuatan Melayu Islam yang lemah selepas PRU 14 akibat perpecahan yang berlaku walaupun mereka adalah etnik majoriti di Malaysia.

Mengikut statistik rasmi yang dikeluarkan oleh Department of Statistics Malaysia pada 15 Julai 2019, bumiputera yang juga terdiri daripada Melayu Islam mewakili 69.3% populasi warganegara Malaysia. Etnik Cina pula 22.8%, India 6.9% dan lain-lain sebanyak 1%.

Ironinya, jumlah kerusi Parlimen Islam selepas PRU 14 dalam kerajaan baru berdasarkan portal rasmi Parlimen Malaysia adalah sebanyak 58 kerusi berbanding kerusi Parlimen Islam adalah 66 kerusi iaitu sebanyak 47%. Walaubagaimana pun keadaan ini telah berubah apabila kerusi PPBM bertambah kesan daripada wakil rakyat UMNO yang menyertai parti tersebut menjadikan kerusi Parlimen Islam menjadi 74 kerusi berbanding 66 kerusi Parlimen bukan Islam iaitu sebanyak 53%. Jika dibanding dengan parlimen ke 13, kerusi Parlimen Islam adalah sekurang-kurangnya 70%. Berlaku perbezaan yang ketara antara kerusi Parlimen Islam kali ke 14 berbanding kali ke 13 iaitu sekurang-kurangnya sebanyak 17%. Jumlah ahli kabinet Malaysia Islam juga makin menurun apabila hanya 57% sahaja yang terdiri daripada Melayu Islam dalam kerajaan baharu berbanding 65% dalam kerajaan lama.

Justeru, jumlah kerusi Melayu Islam dalam kerajaan baru sekarang yang berbeza sedikit sahaja dengan jumlah kerusi bukan Islam dan penurunan peratus dalam kabinet menjadikan kuasa politik Melayu Islam terhakis dan menjadi lemah. Keadaan yang berlaku ini boleh menyebabkan berlakunya ketidakstabilan dalam negara. Ini kerana sesuatu keputusan kerajaan tidak lagi akan memberikan keutamaan kepada kepentingan Melayu Islam akibat kuasa politik Melayu Islam yang lemah tersebut sedangkan etnik Melayu adalah majoriti di negara ini. Ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan Melayu Islam.

Contoh gambaran kuasa politik Melayu Islam terhakis dan lemah di bawah kerajaan baru ini ialah apabila kerajaan terpaksa menyerahkan jawatan menteri kepada bukan Islam di Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi & Multimedia yang mempunyai fungsi yang sangat besar dan penting. Kerajaan juga terpaksa tunduk kepada tentangan bukan Islam dengan memutuskan pengajaran tulisan Jawi dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Darjah 4 hanya akan dilaksanakan jika dipersetujui Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan murid. Di samping itu, subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) telah dihapuskan dan tidak diajar lagi sebagai kursus wajib universiti. Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa pula telah diratifikasi walaupun akhirnya telah ditarik semula selepas tentangan dibuat.

Etnik Melayu Islam mesti mempunyai kuasa politik yang kuat bagi membina keamanan dan kestabilan negara. Ia adalah selari dengan sabda Rasulullah s.a.w.: “Pemimpin mesti daripada Quraisy” (Riwayat Imam as-Syaibani). Hadis yang mempunyai makna yang sama juga telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Imam Muslim dan Imam Tirmizi.

Imam Ibn Khaldun dalam kitabnya Al-Muqaddimah ketika menerangkan hadis ini menyatakan bahawa keturunan Quraisy adalah asobiyyah ghalibah (ikatan yang mengikat seseorang seperti ikatan keturunan/etnik yang berpengaruh) yang mempunyai kedudukan yang tinggi yang mampu menundukkan keturunan/etnik lain dan mendapatkan ketaatan mereka berdasarkan keinginan dan kehebatannya untuk mewujudkan keamanan dan tercapainya kestabilan.

Di tempat yang lain pula Imam Ibn Khaldun berkata: “Ini kerana Quraisy adalah daripada kabilah Mudhar, berasal daripada mereka dan tergolong daripada kalangan yang berpengaruh. Mereka jika dibandingkan seluruh Mudhar yang lain mempunyai kehebatan daripada aspek bilangan yang ramai, asobiyyah dan kemuliaan. Seluruh orang Arab mengiktiraf mereka tentang perkara itu dan tinggal di bawah pengaruh mereka. Jika urusan kepimpinan ini diberikan kepada selain daripada mereka maka akan berlakulah perpecahan kerana penentangan terhadap mereka dan tidak mahu tunduk kepada mereka.”

Mengikut Dr Ahmad Izzuddin Abu Bakar (2017), kata-kata daripada Ibn Khaldun di atas menunjukkan bahawa asobiyyah ghalibah mempunyai dua unsur yang penting iaitu etnik lain yang tinggal bersama dalam sesebuah negara mengiktiraf dan tunduk kepadanya di samping dia mampu membina keamanan dan kestabilan.

Justeru, etnik yang layak memegang tampuk pemerintahan dan menguasai politik tanah air ialah etnik dan bangsa yang paling berpengaruh (asobiyyah ghalibah). Dalam konteks Malaysia, etnik dan bangsa tersebut ialah Melayu Islam kerana mereka adalah penduduk majoriti dan penduduk asal negara ini. Ia adalah diiktiraf oleh semua etnik dan bangsa termasuk dalam perlembagaan melalui kontrak sosial. Jika diberikan kekuasaan kepada etnik dan bangsa lain, sudah pasti akan berlaku perpecahan dan ketidakstabilan akibat penentangan terhadap mereka. Etnik Melayu Islam tidak akan dapat menerima kekuasaan politik mereka kerana mereka bukan etnik yang paling berpengaruh.

Oleh kerana itu, PAS dan UMNO yang merupakan parti yang berteraskan Melayu Islam perlu bekerjasama bagi mengembalikan kuasa politiknya agar kestabilan negara dapat dijamin. Kestabilan ini bukan hanya akan dinikmati oleh Melayu Islam bahkan juga etnik-etnik lain di Malaysia serta merangsang ekonomi negara.

Dr. Ahmad Mouhyideen bin Hasin
Pengarah Institut Kajian Islam dan Strategik (iKIS)
Dewan Ulamak PAS Pusat