Home Minda Presiden

Petunjuk Allah SWT dalam menghadapi bencana

369
SHARE

Minda Presiden PAS
PETUNJUK ALLAH SWT DALAM MENGHADAPI BENCANA


Marilah kita sama-sama bermuhasabah selepas ditimpa bencana, dengan kembali kepada petunjuk Allah SWT. Pada masa yang sama, janganlah kita dilekakan dengan telatah manusia yang cuma hidup untuk sementara waktu sahaja.

Al-Quran ialah petunjuk Allah SWT yang bermukjizat dan ia hidup buat selama-lamanya. Berbeza dengan petunjuk media yang ditelan masa dan penuh kelekaan, khususnya yang tanpa keinsafan dan tanpa peduli bahawa hidupnya hanyalah untuk sementara waktu.

Firman Allah SWT:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ  وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ١٥٥ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ١٥٦ أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ  وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ١٥٧

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kalian dengan sedikit ketakutan kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan harta, jiwa serta hasil tanaman. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (155); (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami semua akan kembali.’ (156); Mereka itulah orang-orang yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya. (157)” (Surah al-Baqarah: 155-157)

Manusia itu berdasarkan fitrahnya percaya akan kewujudan Tuhan sebagai Pencipta alam seluruhnya, termasuklah dirinya sendiri. Dalam pada itu, manusia dikurniakan dengan kelebihan tidak sepertimana makhluk yang lain, kerana mereka mempunyai pancaindera dan akal serta diberikan rezeki, jasad, roh dan akal. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا٧٠

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah berikan mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di daratan dan di lautan; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Surah al-Isra’: 70)

Dan firman Allah SWT:

أَلَا يَعْلَمُ مَنْ خَلَقَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ١٤ هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولًا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِنْ رِزْقِهِ  وَإِلَيْهِ النُّشُورُ١٥

“Apakah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (yang kamu lahirkan atau rahsiakan); sedang Dia Maha Halus, lagi Maha Mengetahui. (14); Dialah yang menjadikan bumi bagi kalian itu mudah digunakan, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah daripada rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), dan kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan semula. (15)” (Surah al-Mulk: 14-15)

Terdapat kalangan manusia yang beristiqamah dengan fitrahnya itu beriman kepada Allah yang Maha Esa dan para Rasul yang dilantik oleh-Nya. Para Rasul diutuskan bagi memberikan peringatan kepada manusia supaya kembali kepada fitrahnya yang sebenar dan beramal mengikut petunjuk Allah SWT dalam seluruh kehidupannya.

Manusia yang beriman dan bertaqwa akan sentiasa melakukan muhasabah diri apabila mereka ditimpa bencana, kerana menyedari hubungannya dengan Allah Pencipta alam.

Lantas mereka akan bertanya, adakah bencana yang berlaku disebabkan oleh maksiat dirinya atau masyarakatnya dalam hubungan dengan Allah SWT dari segi ibadat yang dimalaskan atau maksiat yang dilakukan?

Apakah maksiat dari segi perkara dunia dalam aspek politik iaitu salah memilih pemimpin, atau dari segi ekonomi iaitu menipu, mengamalkan riba dan sebagainya? Atau dari segi sosial dan akhlak yang rosak kerana melanggar batas agama?

Lalu, mereka bertaubat apabila ditimpa bencana. Nescaya diampunkan segala dosa mereka oleh Allah SWT, Tuhan yang Maha Pengampun dan diberikan pahala bertaubat dan bersabar.

Adapun kepada mereka yang baik amalnya, juga ditimpa dengan bencana. Adakah disebabkan oleh kelemahan mereka dalam menjalankan kewajipan Amar Ma‘ruf dan Nahi Munkar dalam semua aspek tersebut? Walhal, mereka juga bersama-sama ditimpa dengan bencana.

Lalu, mereka juga mendapat pahala taubat dan sabar yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Adapun mereka yang sentiasa lalai sepanjang masa sehingga tidak insaf dengan bencana yang berlaku, menyedarkan kita semua kepada peristiwa umat pada zaman dahulu yang ditimpa bencana akibat dosa mereka dalam beberapa perkara. Cerita tentang mereka telah dilakarkan dalam al-Quran supaya menjadi iktibar dan pengajaran kepada umat akhir zaman. Firman Allah SWT:

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ٦ إِرَمَ ذَاتِ الْعِمَادِ٧ الَّتِي لَمْ يُخْلَقْ مِثْلُهَا فِي الْبِلَادِ٨ وَثَمُودَ الَّذِينَ جَابُوا الصَّخْرَ بِالْوَادِ٩ وَفِرْعَوْنَ ذِي الْأَوْتَادِ١٠ الَّذِينَ طَغَوْا فِي الْبِلَادِ١١ فَأَكْثَرُوا فِيهَا الْفَسَادَ١٢ فَصَبَّ عَلَيْهِمْ رَبُّكَ سَوْطَ عَذَابٍ١٣ إِنَّ رَبَّكَ لَبِالْمِرْصَادِ١٤ فَأَمَّا الْإِنْسَانُ إِذَا مَا ابْتَلَاهُ رَبُّهُ فَأَكْرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَكْرَمَنِ١٥ وَأَمَّا إِذَا مَا ابْتَلَاهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَهَانَنِ١٦

“Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah berbuat terhadap kaum ‘Ad (yang kufur derhaka). (6); Iaitu penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. (7); Yang belum pernah dibangunkan (suatu kota) sepertinya di negeri-negeri lain (pada zaman itu. (8); Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadi al-Qura iaitu tempat tinggalnya). (9); Dan (terhadap) Firaun yang menguasai pasak-pasak (tentera yang ramai). (10); (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bebruat sewenang-wenangnya dalam negeri. (11); Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu. (12); Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka pelbagai paluan azab. (13); Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mengawasi. (14); Adapun kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, serta berkata dengan sombongnya: ‘Tuhanku telah memuliakan diriku.’ (15); Dan sebaliknya apabila Tuhannya mengujinya dengan disempitkan rezekinya, maka dia berkata: ‘Tuhanku telah menghinakan diriku.’ (16)” (Surah al-Fajr: 6-16)

Bala bencana yang melanda merupakan hukuman Allah SWT dan ia berlaku akibat dosa masing-masing dalam perkara ibadat, ekonomi, politik dan sosial, apabila tidak mengendahkan dakwah para Rasul masing-masing. Segala pembangunan yang dilakukan oleh mereka yang gagah tersergam itu tidak mampu menahan hukuman Allah SWT di alam dunia sebelum alam akhirat.

Allah SWT memberikan amaran dalam ayat-ayat yang lain dengan firman-Nya:

أَفَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَى أَنْ يَأْتِيَهُمْ بَأْسُنَا بَيَاتًا وَهُمْ نَائِمُونَ٩٧ أَوَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَى أَنْ يَأْتِيَهُمْ بَأْسُنَا ضُحًى وَهُمْ يَلْعَبُونَ٩٨ أَفَأَمِنُوا مَكْرَ اللَّهِ فَلَا يَأْمَنُ مَكْرَ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْخَاسِرُونَ٩٩

“Maka, apakah penduduk negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? (97); Atau apakah penduduk negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? (98); Maka, apakah mereka (bersuka ria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tiada yang merasa aman daripada rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi. (99)” (Surah al-A‘raf: 97-99)

Apabila berlakunya bencana, maka ia akan menimpa semua orang termasuk juga mereka yang tidak bersalah. Justeru, Rasulullah SAW bersabda:

‌يَغْزُو ‌جَيْشٌ ‌الكَعْبَةَ، ‌فَإِذَا ‌كَانُوا ‌بِبَيْدَاءَ ‌مِنَ ‌الأَرْضِ، يُخْسَفُ بِأَوَّلِهِمْ وَآخِرِهِمْ.

“Ada bala tentera yang mahu menyerang Kaabah. Apabila mereka sampai di satu kawasan tanah lapang, tiba-tiba mereka semuanya tenggelam ditelan bumi (ditenggelamkan ke dalam perut bumi) mulai orang yang pertama hingga orang yang terakhir.”

قَالَتْ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، كَيْفَ يُخْسَفُ بِأَوَّلِهِمْ وَآخِرِهِمْ، وَفِيهِمْ أَسْوَاقُهُمْ، وَمَنْ لَيْسَ مِنْهُمْ؟

‘Aisyah bertanya: “Wahai Rasulullah! Bagaimana mereka dibinasakan semuanya mulai orang yang pertama hingga orang yang terakhir? Padahal terdapat dalam kalangan mereka orang-orang yang tidak bersalah (yang tidak menyokong kejahatan itu)?”

قَالَ: يُخْسَفُ بِأَوَّلِهِمْ وَآخِرِهِمْ، ثُمَّ يُبْعَثُونَ عَلَى نِيَّاتِهِمْ.

Sabda Rasulullah SAW: “Mereka semua dibinasakan. Kemudian, mereka dihidupkan semula (pada Hari Kiamat nanti) dengan mengambil kira niat masing-masing.” (Riwayat al-Bukhari 2118)

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 5 Jumada al-Akhirah 1443 / 8 Januari 2022