Oleh : Nor Ahmad
6 Julai 2022
KALABAKAN: Acara sukan dilihat mampu menyuntik semangat kesukanan dalam kalangan murid PASTI Pra Tahfiz Kalabakan dan PASTI Semporna, di Kompleks Sukan Tawau, pada Sabtu lalu.
Pesta Sukan PASTI peringkat Zon Tenggara yang membabitkan kira-kira 150 orang murid itu telah mempertandingkan dua acara iaitu Bola Jaring dan Bola Sepak.
Yang Dipertua PAS Kawasan Kalabakan, Haji Ahmad Dullah menzahirkan rasa gembira dan teruja dengan sambutan yang sangat menggalakan dalam kalangan murid PASTI.
“Selain itu, kesatuan dan semangat ibu bapa dan pengiring juga dilihat cukup bersemangat untuk memberikan sokongan kepada semua murid yang menyertai pertandingan ini.
“Kita bersyukur kerana dapat melaksanakan semula pesta sukan ini setelah dua tahun tidak dapat dianjurkan akibat pandemik COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pesta sukan tersebut, di sini pada Sabtu lalu.
Katanya, melalui pesta sukan ini juga, kita dapat mencungkil bakat-bakat murid sekolah daripada kecil lagi untuk diketengahkan pada masa hadapan.
“Saya sangat menyanjungi peranan jurulatih dan guru-guru PASTI yang melatih murid-murid sehingga boleh bertanding pada hari ini,” katanya.
Terdahulu, PASTI Nurul Ikhwan Felda Umas dinobatkan sebagai Johan bagi acara bola jaring, manakala PASTI Al Furqan Kg Takala pula memenangi acara bola sepak.
Kedua-dua pasukan itu sekali gus akan mewakili Zon Tenggara dalam Pesta Sukan PASTI peringkat negeri Sabah akan datang.