Home Kenyataan Media Presiden PAS

Perutusan Presiden PAS Sempena Maal Hijrah 1442H

819
SHARE


PERUTUSAN PRESIDEN PAS SEMPENA MAAL HIJRAH 1442H

Hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah bukanlah semata-mata bagi melepaskan diri daripada menghadapi tekanan, penindasan, dan penghinaan; apatah lagi jika hendak disamaertikan dengan pelarian atau suaka politik.

Bahkan, lebih besar daripada itu, hijrah Baginda Rasul SAW bersama para sahabat RA adalah dengan membawa suatu gagasan murni, iaitu untuk membina sebuah masyarakat madani dan melaksanakan keadilan sama ada terhadap orang Islam mahupun yang bukan Islam.

Seterusnya, hijrah juga sangat berkait rapat dengan jihad bagi mempertahankan aqidah dan menegakkan Islam dalam diri serta negara yang berwawasan akhirat supaya Islam memimpin bukan dipimpin. Pada masa yang sama, jihad juga bererti tidak menyerah kalah kepada musuh demi mendukung dan mengangkat syariat Islam ke tempat yang tertinggi.

Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran mengenai jaminan kepada mereka yang berhijrah:

﴿وَمَنْ يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً وَمَنْ يَخْرُجْ مِنْ بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا١٠٠﴾ [النساء: 100]

“Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Surah al-Nisa’: 100]

Tuntutan matlamat ini amat bersesuaian dengan sifat Islam itu sendiri yang berperanan sebagai al-Din, sangat sempurna, serta suci daripada segala bentuk kekurangan. Allah SWT sudah pasti tidak meredai seandainya dunia ini diperintah sewenang-wenangnya oleh masyarakat dan negara yang mengikut selera manusia yang lemah serta dibaluti oleh sifat-sifat jahiliah tanpa panduan wahyu.

Justeru, peranan dan tanggungjawab bagi menegakkan dan mempertahankan Islam perlulah digalas oleh semua pihak, sama ada oleh para pemerintah mahupun rakyat jelata secara keseluruhannya. Hayatilah iktibar melalui kisah hijrah Rasulullah SAW yang sangat mendidik kita agar sentiasa yakin terhadap janji Allah, teguh dengan keimanan, kukuh dengan persaudaraan, serta sabar dalam menjunjung risalah Islam yang agung.

Untuk itu, saya mewakili pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) amat berbesar hati mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan Salam Maal Hijrah 1442H kepada seluruh umat Islam. Insya-Allah, mudah-mudahan, dengan kehadiran tahun baharu ini, Allah SWT senantiasa memperbaharui jiwa kita dalam kembara menjadi seorang hamba, khalifah, dan pemegang amanah yang kekal berada di atas jalan petunjuk-Nya.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS.