Home Berita PAS Melaka

Perutusan PAS Kawasan Kota Melaka Sempena Ramadan Al Mubarak 1441H/2020M

923
SHARE

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Kami mewakili saff kepimpinan PAS Kawasan Kota Melaka mengucapkan selamat menyambut Ramadan dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada seluruh rakyat Malaysia dan ahli-ahli PAS, khususnya masyarakat yang beragama Islam di Parlimen Kota Melaka.

Bulan yang penuh dengan keberkatan, bulan yang penuh dengan rahmat, yang dijanjikan oleh Rasulullah S.A.W, iaitu bulan yang di awal-awalnya adalah rahmat oleh Allah, dan pertengahannya adalah keampunan, dan terakhir akan terbebas daripada api neraka.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat ALLAH SWT kita direzekikan bertemu dengan bulan Ramadan pada tahun ini. Kita akan bersama-sama untuk menunaikan rukun Islam ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadan, bulan yang penuh dengan hikmah.

Bulan yang turunnya Al-Quran dan ada padanya malam terbaik di antara seribu malam iaitu malam Lailatul Qadar.

Walaupun Ramadan kali ini kita sambut sedikit berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana ini adalah Ramadan pertama kita tidak dapat solat Terawih berjemaah di masjid. Bazar Ramadan juga tidak dapat diadakan seperti setiap tahun disebabkan Pandemik Covid19. InsyaALLAH ada hikmahnya.

Cabaran ini semestinya kita atasi sama seperti kita menangani cabaran hidup, sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W melalui sirah perjuangan baginda menyebarkan Islam.

Kehadiran wabak ini juga seharusnya tidak menghentikan atau mengganggu kita daripada melaksanakan ibadah-ibadah wajib, seperti menunaikan solat, menjalani puasa dan lain-lain yang dituntut dalam islam.

Kami mendoakan agar kita semua dipermudahkan dapat menjalani ibadah di bulan Ramadan ini dengan lebih baik dan semoga Coronavirus ini dihapuskan secepatnya di muka bumi ini. Bermunajatlah kepada Allah SWT.

Oleh itu, kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk banyakkan beribadat di bulan mulia ini bersama ahli keluarga dalam masa yang sama kita memberikan kerjasama dengan duduk di rumah dan mematuhi semua arahan yang diberikan.

Kita memahami bahawa ramai yang terkesan dengan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan. Tetapi semua ini perlu dilakukan, demi kebaikan bersama. Teruslah berada di rumah demi keselamatan semua.

Bagi mereka yang berkemampuan, bersempena dengan kedatangan bulan Ramadan Al-Mubarak ini, marilah kita membantu golongan yang memerlukan dan kurang bernasib baik.

Dengan adanya kemajuan teknologi maklumat ketika ini, segalanya boleh kita lakukan dari rumah, seperti menunaikan zakat fitrah, memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan melalui badan-badan kebajikan, badan bukan kerajaan (NGO) yang ada dan sebagainya.

Mereka yang ingin menyumbang kit dapur Ramadan kepada asnaf sekitar kawasan Kota Melaka melalui PAS boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun CIMB – 860 116 3036 atas nama PAS KAWASAN KOTA MELAKA.

Semoga amal ibadah kita dibalas dengan sebaik-baik ganjaran oleh Allah SWT.

Akhir kata, sekali lagi kami mengucapkan selamat menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan Al-mubarak.

Semoga Ibadah puasa pada tahun ini dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan sempurna serta beroleh ganjaran taqwa daripada Allah SWT.

Kami turut mendoakan agar kita semua dijauhkan dari penyakit, serta sentiasa di bawah perlindungan Allah yang maha kuasa.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN

PAS Kawasan Kota Melaka


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)