Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Perutusan Nuzul Quran Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia

1033
SHARE

Perutusan Nuzul Quran Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia

Mukjizat Sepanjang Zaman : Al Quran Kalam Allah

Peristiwa Nuzul Al-Quran memberi makna terlalu besar kepada umat Islam dan kehidupan Nabi SAW khasnya. Al-Quran merupakan kitab suci terakhir yang diturunkan kepada umat manusia untuk diimani dan diamalkan isi kandungannya. Al-Quran merupakan petunjuk kepada seluruh umat manusia dari zaman Nabi Muhammad SAW sehingga zaman manusia terakhir sebelum dunia ini kiamat.

Nuzul Al-Quran bererti penurunan Al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Perkataan Nuzul dalam pelbagai wajah sama ada kata nama, kata perbuatan atau lainnya digunakan dalam Al-Quran sebanyak lebih kurang 290 kali. Sebagai contoh, “Dia yang telah…..menurunkan hujan.” (Al-Baqarah:22), dan “Dialah….yang menurunkan Taurat Dan Injil.” (Ali Imran:3).

Nuzul’ bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah dari atas ke bawah atau turun dari tempat yang tinggi.

‘Al-Quran’ pula bermaksud bacaan atau himpunan, kerana Al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia dan di dalamnya terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat, sains, teknologi dan sebagainya. Perumpamaan seorang mukmin yang membaca al-Quran itu seperti Al-utrujjah; baunya wangi rasanya juga sedap. Mukmin yang tidak membaca Al-Quran adalah seperti buah kurma; tiada bau tetapi rasanya manis. Munafiq yang membaca Al-Quran pula seperti raihanah; baunya wangi tetapi rasanya pahit. Munafiq yang tidak membaca Al-Quran pula seperti labu pahit; baunya tiada rasanya pula pahit. (Hadis Muttafaq ‘alaih)

Walaupun ada perbezaan pendapat mengenai tarikh sebenar Nuzul Quran, namun ia bukan suatu permasalahan yang perlu dibangkitkan. Marilah kita bersama-sama membaca dan beramal dengan al-Quran supaya kita semua akan sentiasa mendapat pahala, rahmat, keampunan dan kedudukan yang tinggi di sisi Allah pada Hari Akhirat kelak.

Al-Quran adalah penyelamat di dunia dan akhirat. Mari bersama menyingkap tabir peristiwa Nuzul Quran dengan merebut nikmat dari mukjizat kalamullah. Subur dan tanamkan semangat cintakan Al Quran di setiap ahli keluarga, anak-anak, masyarakat, agama dan negara. Sesungguhnya Allah akan mengangkat martabat sesuatu kaum yang beramal dengan al-Quran dan menghina kaum yang tidak beramal dengannya. [HR. Muslim & Ibnu Majah]

Jadikan Al-Quran sebagai teman hidup sepanjang masa, sepanjang zaman. Semai dan suntik taman hati-hati kita dengan kalam Allah agar segala urusan kehidupan kita sentiasa diberkati lagi dilimpahi dengan rahmat kasihNya. Salam Nuzul Quran!

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
KETUA,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
17 Ramadan 1438 H | 12 Jun 2017

 

{jathumbnail off}