PERUTUSAN MA’AL HIJRAH 1439 KETUA DEWAN ULAMAK PAS PUSAT (DUPP)
Rasulullah S.A.W ada bersabda :
المهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ
Yang bermaksud: “Orang-orang yang berhijrah ialah sesiapa yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah daripada melakukannya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Setiap kali kedatangan tahun baru Islam, umat Islam seluruh dunia akan memperingati peristiwa agung Hijrah Al-Rasul S.A.W sebagai suatu sejarah yang perlu dijadikan pedoman dalam kehidupan mereka. Pengambilan peristiwa hijrah sebagai peristiwa penting setiap kali memasuki awal tahun baru Islam adalah sebagai gesaan untuk umat Islam membina tekad baru dan persiapan yang lebih rapi dalam mempertahankan keizzahan Islam.
Sesungguhnya peristiwa hijrah mempunyai pelbagai pengajaran, tindakan dan contoh tauladan yang telah ditunjukkan oleh Rasullulah S.A.W. dan para sahabat Baginda. Rasulullah S.A.W dan para Sahabat telah berjihad dan berkorban nyawa sehingga mereka berjaya meletakkan Islam di tempat yang paling mulia dan sepatutnya. Kini giliran kita pula untuk memberi sumbangan kepada agama yang suci ini agar ia terus berkembang mekar dan perundangannya berjaya ditegakkan.
Semoga tahun baru 1439 Hijriyah ini lebih memberi makna kepada seluruh umat Islam dengan siri-siri kemenangan yang berpihak kepada penegak kebenaran di seluruh pelusuk dunia Islam. Kesepakatan umat Islam terutamanya pemimpin dunia Islam dalam menangani kemelut yang melanda saudara-saudara seaqidah seumpama di Rohingya dapat ditangani dengan sebaik mungkin.
DUPP menyeru seluruh umat islam membina tekad dan semangat baru untuk mengukuhkan jalinan ukhuwwah serta mengelakkan pertelagahan yang merugikan umat islam itu sendiri. Budaya Politik Matang dan Sejahtera sangat perlu dihayati oleh semua pihak bagi membina ummah dan negara menuju keredhaan Allah S.W.T.
“SEJAHTERA BERSAMA ISLAM”
“MEMBINA NEGARA SEJAHTERA”
USTAZ DATO’ DR. HAJI MAHFODZ MOHAMED
KETUA DEWAN ULAMAK PAS PUSAT
30 Zulhijjah 1438H / 21 September 2017M