Home Kenyataan Media Presiden PAS

Perutusan Khas Presiden: PAS Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke-63

1131
SHARE


Perutusan Khas Presiden PAS

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN KE-63


Kedatangan Islam telah membawa erti kemerdekaan yang sebenar. Islam mengajar manusia untuk mengabdikan diri semata-mata kepada Allah SWT. Kesan daripada ajaran Islam menyebabkan masyarakat Nusantara ini menganut agama Islam dan membebaskan diri mereka daripada belenggu jahiliah.

Kemerdekaan yang dibawa oleh Islam berteraskan konsep tiada paksaan dalam agama. Oleh yang demikian, majoriti penduduk Nusantara termasuk di Semenanjung Tanah Melayu memeluk dan mengamalkan Islam sebagai sistem cara hidup. Bangsa Melayu menjadi bangsa yang berdaulat dan mengasaskan pemerintahan Islam.

Perjuangan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu bermula semenjak pencerobohan Portugis pada tahun 1511 selepas kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Seluruh penduduk Nusantara seperti Timur Sulawesi, Banjar, Sumatera Utara, Acheh, Jawa dan lain-lain telah bersatu menentang penjajahan berdasarkan semangat mempertahankan Islam.

Sekalipun Tanah Melayu dijajah, namun para penjajah gagal mengubah orang Melayu untuk meninggalkan Islam. Mereka melancarkan serangan pemikiran dan budaya untuk menghakis jati diri masyarakat Islam. Namun, usaha mereka tetap tidak berjaya menghapuskan cahaya Islam yang wujud dalam diri orang Melayu.

Kaum-kaum seperti bangsa China dan India dibawa masuk oleh penjajah bertujuan untuk menjarah hasil mahsul. Mereka juga telah bersatu dengan masyarakat Melayu untuk menentang penjajah tanpa mengira perbezaan kaum dan agama, sehingga perjuangan menentang penjajah berlaku secara majmuk.

Tanah Melayu menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat selepas mengecapi kemerdekaan, namun begitu kesan-kesan penjajahan masih wujud. Pengaruh budaya, cara hidup, fahaman dan ideologi penjajah masih bertapak, maka menjadi kewajipan kepada kita untuk meneruskan perjuangan bagi mengisi kemerdekaan dengan memerdekakan roh dan pemikiran sepenuhnya.

Hasil muafakat masyarakat majmuk melalui kontrak sosial, berjaya mewujudkan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Akhirnya, Malaysia meletakkan Islam sebagai agama bagi persekutuan serta meraikan kebebasan kepada agama lain. Negara ini menerima konsep masyarakat majmuk, dalam masa yang sama mengiktiraf hak istimewa Melayu dan Bumiputera sebagai penduduk asal.

Mudah-mudahan kesedaran ini dapat ditanam sebaik mungkin dan kita berusaha menyelamatkan negara dengan suatu pembaharuan yang sebenar. Penubuhan kerajaan Perikatan Nasional adalah muqaddimah yang sangat baik dan perlu dibina dari semasa ke semasa supaya kita boleh mengisi kemerdekaan dengan makna dan falsafah yang sebenar.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
12 Muharam 1442 / 31 Ogos 2020