Home Kenyataan Media PAS Wilayah

Perutusan Khas PAS Wilayah Persekutuan Sempena Hari Wilayah Persekutuan 2018

943
SHARE

PERUTUSAN KHAS PAS WILAYAH SEMPENA HARI WILAYAH PERSEKUTUAN 2018

Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan mengucapkan selamat menyambut Hari Wilayah Persekutuan 2018 kepada seluruh warga kota yang telah mencurahkan segala sumbangan dan keringat mereka sehinggalah Wilayah Persekutuan membangun dan maju sepertimana yang disaksikan pada hari ini.

Dalam kita menyambut dengan penuh kegembiraan sambutan ulangtahun ini, PAS Wilayah Persekutuan tidak lupa ingin mengambil kesempatan yang berharga ini untuk merakamkan sekalung penghargaan dan tahniah kepada seluruh kakitangan kerajaan dan semua mereka yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung yang memainkan peranan yang penting dalam menjayakan misi dan visi Wilayah Persekutuan.

Namun dalam masa yang sama, pihak PAS Wilayah Persekutuan ingin mengingatkan kepada pihak berwajib kerajaan agar mengambil tindakan yang lebih berkesan dan efisien serta melakar perancangan untuk mengatasi segala permasalah-permasalah yang telah dibangkitkan sebelum ini terutamannya ancaman kemiskinan bandar ketika warga kota dicengkam dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil dan tidak menentu serta kenaikan harga barangan yang tidak terkawal. Maka sudah tentu mereka yang paling terkesan adalah warga kota itu sendiri. Sekiranya kebajikan mereka diabaikan maka sudah tentu warga kotalah yang paling terjejas terutamanya warga bumiputra akan terus terpinggir dari arus pembangunan.

Sebagai sebuah parti yang mendokong aspirasi Islam, kami juga turut mengingatkan pihak kerajaan agar menjadikan pembangunan rohani dan insan sebagai teras agenda utama dalam merealisasikan misi dan visi pembangunan Wilayah Persekutuan.

Ketidakseimbangan antara rohani dan material pasti akan mensia-siakan segala misi dan visi yang ingin dicapai selama ini. Manusia adalah aset utama kita, merekalah yang akan menentukan jatuh bangunnya sesebuah tamadun yang berasaskan baldatun toyyibah. Kami juga menyeru agar Wilayah Persekutuan dibersihkan dari sebarang bentuk aktiviti maksiat yang merosakan minda masyarakat yang bertamadun.

Di bawah prinsip Budaya Politik Matang dan Sejahtera, PAS Wilayah bersedia untuk menghulurkan sumbangan kerjasama untuk merealisasikan matlamat menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai baldatun toyyibah serta makmur dan jauh dari sebarang bentuk kemurkaan Allah SWT.

Tuan Haji Mohamad Noor bin Mohamad
Pesuruhjaya,
PAS Wilayah Persekutuan