PERUTUSAN KHAS MA’AL HIJRAH 1439
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
22 September 2017 | 1 Muharam 1439
“HIJRAH KEBANGKITAN & PERUBAHAN MENUJU KESEJAHTERAAN ISLAM”
Tinta emas yang mengukir sejarah peristiwa Hijrah Nabi Muhammad S.A.W, kaum keluarga dan para Sahabat R.A perlu teguh dihayati dan diimplementasi dalam kehidupan serta perjuangan di sepanjang zaman. Walaupun masanya semakin jauh menjarakkan, namun iktibarnya mesti didakap kemas sebagai panduan dalam setiap langkah kebangkitan dan perubahan.
Hijraturrasul telah menyaksikan, betapa bangsa Arab khususnya kaum Quraisy yang dibejati jahiliyah dan terperuk kekosongan hidup di Makkah, tiba-tiba bangkit sebagai umat terbilang serta memayungkan rahmat hingga dua pertiga muka bumi. Asasnya ialah membangunkan tamadun manusia serta negara di bawah panji Islam dan keredaan Allah S.W.T.
Kebangkitan dan perubahan inilah titik yang mesti sentiasa dimajukan dalam diri setiap manusia lebih-lebih lagi umat Islam. Malangnya, sekitar satu abad ini umat Islam bukan sahaja lemah meyakini Islam sebagai akidah, malah sirna dari kehidupan hariannya. Jauh sekali dalam sistem hidup bermasyarakat dan negara yang ditegakkan.
Umat Islam meramaikan bumi sekadar jumlah dan keluasan tanah diduduki, namun terbelengu jajah, tertindas sengsara serta tercengkam milik oleh keparat yang menakluki kepercayaan, kebebasan serta wawasannya. Menjadilah umat ini umpama buih di lautan dan hidangan lazat yang dikerumuni musuh-musuh Islam mewajahkannya dengan daif dan kolot tetapi ekstrem.
Walhal, Allah telah merakamkan di dalam al-Quran kalam-Nya yang agung pengisytiharan ke atas Nabi Muhammad sebagai qudwah hasanah yang wajib diikuti. Beliau adalah punca kuasa dalam memberi pengertian sebenar kehidupan bahagia menuju keselamatan di hari akhirat, seterusnya menggapai segala nikmat dijanjikan Allah kepada sekalian hamba-Nya.
Iaitulah dengan bersaksi terhadap keesaan Allah dan kerasulan Baginda serta mengambil Islam secara syumul. Umat Islam di seluruh dunia, termasuk di negara yang dicintai ini wajib kembali ke landasan tersebut sebagai satu kebangkitan dan perubahan semula dari kealpaan dan hanyut oleh sistem kehidupan dan pemerintahan selama ini.
Terletak di tangan rakyat segala hasrat dan kekuatan untuk berani berhijrah dengan melakukan pilihan lebih baik, setelah bukti nyata diperlihatkan kepada semua terhadap pelbagai kemungkaran, kegagalan, kepincangan, ketidakadilan, kezaliman, bahkan kesesatan. Masa untuk keluar membebaskan diri, masyarakat dan negara semakin hampir.
Peluang menerusi wadah demokrasi berpilihanraya dengan diperuntukkan hak kepada setiap warga yang layak, wajib dilaksanakan peranan dan tanggungjawab itu untuk membawa Malaysia kepada kesejahteraan. Hanya dengan kepimpinan dan pemerintahan Islam, impian tersebut pasti terjamin dapat dicapai sebagaimana telah Allah nyatakan:
“Sungguh, telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaan yang kamu alami, (dia) sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, penyantun dan penyayang terhadap orang-orang beriman.” (at-Taubah: 128)
Marilah jadikan Tahun Baru Islam ini untuk mendirikan tekad yang teguh ditanam dalam diri dan dipadukan bersama sebagai satu hijrah meninggalkan segala ikatan tidak berteraskan titipan Ilahi. Seterusnya menjadikan ia langkah kebangkitan dan perubahan menuju negara yang dinaungi Allah S.W.T dan kembali subur dengan tebaran kedamaian dari sunnah Baginda S.A.W.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”
USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia