1. Tanggal 16 September tahun ini, usia Malaysia mencecah 54 tahun. Pada tarikh ini menandakan penyertaan bersama Malaya, Borne Utara, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk sebuah negara bernama Malaysia.
2. Dalam tempoh 54 tahun, kita menyaksikan pelbagai kemajuan dari sudut ekonomi dan pembangunan insan. Namun nyata dan jelas, pembangunan ini tidak setara antara Semenanjung dan Sabah Sarawak.
3. Bukan sahaja dari aspek pembinaan bangunan-bangunan, malah akses-akses asas seperti air, elektirk, jalan raya, perumahan, sekolah dan kesihatan. Saudara-saudara kita di Sabah dan Sarawak masih lagi menabung untuk mendapatkan bekalan asas, masih berjalan berjam-jam untuk ke sekolah.
4. Ada pula dikalangan anak-anak kita yang tidak mendapat taraf warganegara, yang menyukarkan lagi mereka untuk mendapat hak pendidikan dan kesihatan.
5. Lebih kita bimbangkan ialah pengisian rohani. Agama Islam masih lagi asing buat mereka, apatah lagi penghayatan keindahan Islam. Pendakwah-pendakwah kita berusaha untuk masuk ke segenap kampung, memberi mesej-mesej Islam. PASTI-PASTI, PAS Cawangan; bertumbuh dengan baik, dengan pengorbanan dari petugas kita yang adakalanya datang dari Semenanjung.
6. Dewan Muslimat PAS Malaysia menyeru rakyat Sabah dan Sarawak menilai semula, sejauh mana kemajuan yang dibawa oleh Barisan Nasional seperti dalam janji mereka dalam pilihanraya saban tahun? Pandang ke dalam anak mata anak-anak kita, terjaminkah masa depan mereka?
7. Dewan Muslimat PAS MALAYSIA juga ingin merakamkan penghargaan buat semua wakil-wakil PAS yang menebar bakti di Sabah dan Sarawak, melaksanakan kerja-kerja amal dan dakwah demi iman anak watan.
8. Ayuh bersama-sama kita bangunkan negara, seluruhnya!
“Muslimat Memacu Kemenangan”
USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
25 Zulhijjah 1438
16 September 2017