Home Kenyataan Media PAS Kelantan

Perutusan Hijratul Rasul SAW 1443H Menteri Besar Kelantan

290
SHARE

Firman Allah SWT:
‎إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَٱلَّذِينَ هَاجَرُواْ وَجَٰهَدُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ أُوْلَٰٓئِكَ يَرۡجُونَ رَحۡمَتَ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ
Maksudnya: “Sesungguhnya Orang Yang Beriman, Dan Orang Yang Berhijrah Serta Berjuang Pada Jalan Allah (Untuk Menegakkan Agama Islam), Mereka Itulah Orang Yang Mengharapkan Rahmat Allah. Dan (Ingatlah), Allah Maha Pengampun, Lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Baqarah, Ayat 218)

Hari ini merupakan hari terakhir kita berada di tahun hijrah 1442. Tahun hijrah 1442 ini bakal meninggalkan kita dengan pelbagai peristiwa lebih-lebih lagi kita masih lagi diuji dengan penularan wabak covid-19.

Sambutan awal tahun hijrah bukan hanya satu acara yang rutin disambut oleh kita pada setiap tahun, akan tetapi ia adalah permulaan keazaman kita untuk membuat perubahan kepada yang lebih baik, serta sentiasa bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT untuk mencari redhaNya dalam apa saja yang kita lakukan. Oleh itu, sebagai hamba Allah SWT kita hendaklah sentiasa berusaha mempertingkatkan amal ibadah agar menjadi hamba yang dikasihi dan diredhai.

Cabaran Pandemik Covid-19 perlu diambil iktibar oleh umat Islam untuk memperkukuh hubungan silaturahim, dan saling bantu membantu sesama kita. Peristiwa hijrah juga mengajar kita supaya bersabar dalam apa jua cabaran disamping sentiasa berusaha untuk berikhtiar dan bertawakkal kepada Allah SWT.

Peristiwa hijrah menyaksikan bagaimana Rasulullah SAW mengeratkan ikatan persaudaraan antara Muhajirin yang berasal dari Mekah dan Ansar dari Madinah. Hubungan yang dibina atas asas Islam dan taqwa ini akhirnya berjaya membentuk kesatuan fikrah dan kerjasama di kalangan penduduk Madinah.

Akhirnya, sama-samalah kita berdoa semoga segala amalan kita diterima oleh Allah SWT, mudah-mudahan dengan demikian kita dapat sama – sama memartabatkan syiar Islam dan membangunkan negara dengan petunjuk dan rahmat daripada Allah SWT.

“Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti”
“Merakyat Membangun Bersama Islam”

Dato’ Bentara Kanan
Ustaz Dato’ Hj Ahmad Bin Yakob
Menteri Besar Kelantan
1 Muharam 1443H