Perutusan Aidilfitri DMPM 1439H: Ibrah Kemenangan Umat Islam Dalam Syawal
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Alhamdulillah, Allah mengizinkan kita untuk menikmati keberkatan Ramadan selama sebulan dan Allah SWT meneruskan rasa syukur kita untuk diraikan dalam bulan Syawal.
Firman Allah SWT:
قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا ﴿٩﴾ وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا ﴿١٠﴾
Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),
Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat); Surah As Syams 9-10.
Kemeriahan umat Islam dalam meraikan SYAWAL perlu dilihat dari perspektif agama yang luas. Sirah membuktikan pengorbanan Rasulullah dan para sahabat dalam misi dakwah menyebarkan Islam dimulakan asas tarbiyah yang kukuh dalam bulan Ramadan dan diteruskan hingga Syawal menjelma.
Peralihan fasa Perang Badar Al-Kubro pada Ramadan hingga Perang Al-Ahzab adalah rentetan sirah penuh hikmah dalam kita menghayati erti sebenar tarbiyah hasil penyucian dalam Ramadan patut diteruskan sehingga Syawal dan seterusnya.
Justeru itu, Dewan Muslimat PAS Malaysia menyeru seluruh umat Islam untuk menghayati bulan Syawal dengan nilaian taqwa sebagai hasil. Sesungguhnya Aidilfitri hendaklah disambut dengan rasa syukur, tawadhu’ dan penuh keinsafan. Ini kerana hakikat Ramadan yang dilalui akan memberi kesan pada bulan seterusnya hingga kita bertemu kembali Ramadan akan datang.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin. Binalah ukhuwah sebaiknya pada hari lebaran ini dengan mengukuhkan silaturrahim dan menjaga nilai agama. Semoga Allah menerima amalan kita semua.
تقبل الله منا ومنكم
*_“Muslimat Memacu Kemenangan”_*
NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
29 Ramadhan 1439H
14 Jun 2018