Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Seindah Syawal, Mengukir Senyuman di Hospital Jerantut

102 views
SHARE

13 Jun 2018, Pahang : Program “Seindah Syawal” merupakan salah satu program tahunan anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasya  rakatan Dewan Muslimat PAS Malaysia (LKK DMPM). Negeri Pahang antara yang terpilih sebagai tuan rumah untuk melaksanakan program tersebut semalam bagi tahun ini, selain daripada 2 lagi negeri yang juga berlangsung secara serentak semalam iaitu Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Seindah Syawal berjalan dengan meriah sekali di Hospital Jerantut Pahang. Rombongan Skuad Prihatin LKK Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang (DMPNP) telah berjaya menceriakan suasana di beberapa wad yang telah terlibat dalam program tersebut bermula seawal pukul 11 pagi.

Dalam program tersebut, LKK DMPNP telah menyerahkan sumbangan berupa cenderahati dan sijil penghargaan kepada kakitangan Hospital bagi meraikan mereka yang bertugas di wad yang tidak berkesempatan untuk pulang ke kampung berhari raya tahun ini. Selain itu juga, pesakit-pesakit yang terlantar di wad juga turut disantuni dan diraikan dengan sumbangan berupa cenderahati dan duit raya.

Pengerusi Lajnah LKK DMPM, Dr ‘Uyun Abd Malek meluahkan rasa terharu dan gembira di atas kelancaran program yang berlangsung semalam.
“Syukur yang tidak terhingga pada Allah yang telah mengizinkan banyak senyuman terukir pada hari ini… Terima kasih yang tidak terhingga juga pada seluruh jawatankuasa yang terlibat dalam menjayakan misi mengukir senyuman pada hari ini. Tidak dilupakan juga kepada para penyumbang yang dermawan di atas keprihatinan dan sumbangan ikhlas mereka sangat memberi makna untuk program yang berlangsung hari ini. Semoga hanya Allah yang dapat membalasnya dengan yang lebih baik dan lebih banyak.”

Turut hadir memeriahkan program semalam ialah Naib Ketua DMPM, Puan Salamiah Mohd Noor, Yang DiPertua (YDP) PAS Kawasan Jerantut , Ustaz Yohanis Ahmad, YB ADUN Tahan, Ustaz Mohammad Zakhwan Ahmad Badarddin dan YB ADUN Damak, Ust Zuridan B Mohd Daud serta Pengerusi LKK DMPNP Saudari Dalmah Bt Islamil dan barisan ahli jawatankuasa (AJK) LKK DMPNP.