Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
Perutusan Aidilfitri 1441H/2020M
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1441H/2020M dengan tulus ikhlas serta penuh rasa syukur kehadrat Ilahi.
تقبل الله منا ومنكم صالح الأعمال، وكل عام وأنتم بخير.
Semoga Allah SWT menerima amalan kita dan menghimpunkan kita dalam kebaikan.
Selamat kembali kepada fitrah. Fitrah yang suci daripada dosa dan keburukan. Terus istiqamah dengan amal ibadah kepada Allah SWT setelah berlalunya bulan tarbiyah penuh keberkatan.
Oleh kerana negara sekarang ini berada dalam peringkat pemulihan daripada wabak Covid19, maka rakyat sewajarnya meraikan kegembiraan Aidilfitri dengan berhati-hati dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara kerana ini semua demi kesejahteraan kita bersama.
Tidak lupa kepada para petugas barisan hadapan mahupun yang bertugas di sebalik tabir yang sentiasa komited dalam tugas masing-masing, ribuan terima kasih diucapkan atas segala jasa dan pengorbanan, hanya Allah SWT jua diserahkan untuk memberikan ganjaran yang terbaik.
Dua rangkap pantun untuk semua :
Ramadan berlalu syawal menjelma,
Dalam gembira terasa sayu,
COVID-19 melanda negara,
Amalkan gaya hidup norma baharu.
Malaysia diiktiraf antarabangsa
Usahasama rakyat dan barisan hadapan,
Tahun ini sambutan berbeza
Demi negara kita berkorban.
Salam Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.
‘Islam Memimpin Perpaduan’
KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
23 Mei 2020 | 30 Ramadan 1441