PERUTUSAN AIDIL ADHA 1442H/2021M
YAB USTAZ DATO’ BENTARA KANAN
MENTERI BESAR KELANTAN
بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ
الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ الأَنْبِيَاءِ وَ الْمُرْسَلِيْنَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ
اللهُ أَكْبَر اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْد
Firman Allah SWT:
وَأَذِّن فِي ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَجِّ يَأۡتُوكَ رِجَالٗا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٖ يَأۡتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٖ لِّيَشۡهَدُواْ مَنَٰفِعَ لَهُمۡ وَيَذۡكُرُواْ ٱسۡمَ ٱللَّهِ فِيٓ أَيَّامٖ مَّعۡلُومَٰتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّنۢ بَهِيمَةِ ٱلۡأَنۡعَٰمِۖ فَكُلُواْ مِنۡهَا وَأَطۡعِمُواْ
ٱلۡبَآئِسَ ٱلۡفَقِيرَ
“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.”(Surah al-Hajj, ayat 27-28)
Selamat menyambut Aidil Adha diucapkan kepada seluruh muslimin dan muslimat khususnya buat rakyat negeri Kelantan Darul Naim. Marilah kita menyambut ketibaan Aidil Adha dengan penuh rasa kesyukuran yang tidak terhingga ke hadhrat Allah SWT walaupun tahun ini merupakan tahun kedua kita menyambut hari raya haji atau korban ini dalam suasana norma baharu akibat penularan covid-19 yang belum berakhir.
Aidiladha sentiasa mengingatkan kita kepada kisah sebuah pengorbanan agung iaitu sirah Nabi Ibrahim A.S bersama puteranya Ismail A.S. Betapa perhimpunan-perhimpunan dalam ibadah haji memperkukuhkan nilai kesatuan dan kebersamaan umat Islam seluruh dunia merentasi warna kulit, bangsa dan darjat.
Ibadah korban pula merupakan peluang memupuk sikap peduli dan prihatin terhadap masyarakat dengan mengagihkan sebahagian daging korban kepada golongan kurang bernasib baik. Kesan pandemik sangat memerlukan kita supaya prihatin terhadap saudara-saudara kita, jiran-jiran kita yang diuji dengan kesusahan hidup serta hilang mata pencarian.
Saya menyeru kepada seluruh rakyat negeri Kelantan agar sentiasa mematuhi segala garis panduan (SOP) yang ditetapkan terutama dalam pelaksanaan ibadah korban. Kerjasama daripada kita semua mampu melindungi negeri kita daripada terdedah kepada penularan wabak Covid-19.
Buat akhirnya, Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh umat Islam. Semoga Allah menerima segala amalan kita dan mengampuni seluruh dosa kita sempena pada hari yang penuh keberkatan 09 Zulhijjah.
DATO’ BENTARA KANAN
USTAZ DATO’ HAJI AHMAD BIN YAKOB,
Menteri Besar Kelantan
09 Zulhijjah 1442 / 19 Julai 2021