Home Kenyataan Media PAS Kedah

Perutusan Aidil Adha Pesuruhjaya PAS kedah 1442H/2021M

276
SHARE

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

 Salam Sejahtera.

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ

حَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ الأَنْبِيَاءِ وَ الْمُرْسَلِيْنَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ

اللهُ أَكْبَر اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْد

Firman Allah SWT:

اِنَّ اللّٰهَ اشْتَرٰى مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ اَنْفُسَهُمْ وَاَمْوَالَهُمْ بِاَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَۗ يُقَاتِلُوْنَ فِيْ سَبِيْلِ اللّٰهِ فَيَقْتُلُوْنَ وَيُقْتَلُوْنَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِى التَّوْرٰىةِ وَالْاِنْجِيْلِ وَالْقُرْاٰنِۗ وَمَنْ اَوْفٰى بِعَهْدِهٖ مِنَ اللّٰهِ فَاسْتَبْشِرُوْا بِبَيْعِكُمُ الَّذِيْ بَايَعْتُمْ بِهٖۗ وَذٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيْمُ

“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman akan jiwa dan harta benda mereka dengan balasan bahawa mereka akan beroleh syurga, disebabkan mereka berjuang (sehingga sanggup berkorban) pada jalan Allah” 

[Surah Al-Taubah:111].

Saban tahun, ketibaan Aidil Adha disambut dengan penuh rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT,  peristiwa agung kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S bersama puteranya Ismail A.S. diterjemahkan dengan perlaksanaan ibadah Qurban haiwan ternakan oleh umat Islam sepanjang zaman.

Aidil Adha juga melambangkan kesempurnaan rukun Islam ke-5 iaitu menunaikan Haji. Terselit pelbagai falsafah kehidupan manusia dalam siri ibadah yang diperintahkan oleh Allah namun kesemuanya berfokus kepada satu iaitu ketaatan tanpa kompromi kepada Allah SWT, Zat yang Maha Agung.

Tanpa diminta, ujian diturunkan oleh Allah SWT melalui wabak Covid-19 yang belum menemui titik untuk berakhir.

Penangguhan bagi melaksanakan Haji di Baitullah bagi tahun ke-2 tahun ini sedikit sebanyak meremukkan hati sebahagian tetamu Allah yang sudah terpilih namun masih terhalang.

Pelaksanaan ibadah Qurban yang dihadkan kerana kekangan undang-undang pencegahan wabak turut meresahkan ramai umat Islam seolah-olah sudah tidak berpeluang untuk menzahirkan rasa pengorbanan.

Namun, semuanya adalah rencana Allah SWT agar umat Islam melihat kembali falsafah Qurban, bukan sekadar penyembelihan haiwan ternakan tetapi juga berkorban harta membantu jiran dan saudara yang kesusahan, kehilangan pekerjaan, ditimpa penyakit dan kematian ahli keluarga.

Kita juga diminta berkorban untuk mematuhi segala garis panduan (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan demi mengelak sebaran wabak supaya impak terhadap ekonomi, sosial dan pendidikan tidak berpanjangan.

Mewakili Badan Perhubungan PAS Kedah, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha dan melaksanakan ibadah Qurban kepada seluruh muslimin dan muslimat khususnya warga Kedah Darul Aman. Semoga Allah menerima segala amalan dan mengampuni seluruh dosa kita.

“اسلام ممڤركوكوه ڤرڤادوان”

YB SENATOR USTAZ AHMAD BIN YAHAYA

Pesuruhjaya PAS Kedah

Hari Arafah, 9 Zulhijjah 1442H | 19 Julai 2021