Home Kedah

Peruntukan Pembangunan Jangan Sekadar Halwa Telinga

55 views
SHARE

KENYATAAN MEDIA PESURUHJAYA PAS KEDAH

PERUNTUKAN PEMBANGUNAN JANGAN SEKADAR HALWA TELINGA


1. PAS menyambut baik pengumuman Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohd Azmin Ali, mengenai peruntukan pembangunan kepada kerajaan negeri Kedah yang berada di bawah perancangan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

2. Peruntukan keseluruhan bernilai hampir RM 4.8 bilion yang merangkumi lima projek berstatus gajah putih itu diharapkan dapat menghasilkan impak positif kepada pembangunan negeri kedah dan apa yang paling penting ialah projek-projek tersebut benar-benar dapat dilaksanakan, tidak sekadar halwa telinga kepada rakyat.

3. Pengumuman itu sebenarnya, memperlihatkan secara tersirat bahawa PAS Kedah berjaya membawa mesej rakyat tentang keseriusan perlunya pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat, walaupun berada di posisi pembangkang dengan 15 kerusi DUN.

4, Oleh itu dalam hal ini, PAS Kedah juga ingin menyarankan supaya Kerajaan Persekutuan atau pun negeri mengambil inisiatif menyemak semula dasar-dasar tertentu bagi kesejahteraan rakyat seperti penyelesaian isu air, penetapan dan penguatkuasaan harga lantai komoditi sawit dan getah, perumahan B40 serta masalah kemiskinan luar bandar.

5. Seterusnya ,PAS tegas menyatakan perlu ada perimbangan di antara pembangunan material seperti pembinaan lapangan terbang antarabangsa dan lain-lainnya dengan usaha membebaskan rakyat daripada belengu ketidaktentuan ekonomi mereka supaya kedua-dua kepentingan ini bergerak sejajar dan seimbang.

6. Sekiranya kerajaan silap perkiraan, maka jurang kadar kemiskinan akan kian melebar dan berpotensi menimbulkan perasaan tidak puas hati dan diskriminasi melampau dikalangan rakyat.

7. Justeru itu PAS tetap komited mempraktikkan konsep Budaya Politik Matang Sejahtera ke atas kerajaan hari ini. Menyokong perkara-perkara yang memberi keuntungan kepada rakyat dan negeri, serta tegas menegakkan keadilan ke atas perkara-perkara yang menjurus ke arah kezaliman.

Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi
Pesuruhjaya PAS Kedah
21 Mac 2019