Home Artikel PAS Pulau Pinang

Islam Titik Pertemuan PAS UMNO Di HKU P.Pinang

546 views
SHARE

Oleh : UMMU AL-FATEH

KEPALA BATAS : Detik bersejarah 17 Mac lalu mempertemukan PAS dan UMNO sepentas dalam Himpunan Kebangkitan Ummah di Markaz Tarbiah PAS Pongsu Seribu.

Kehadiran seramai 4000 orang ke program anjuran Gerakan Pembela Ummah, membuktikan pelbagai lapisan masyarakat dari PAS, UMNO, wakil daripada NGO serta anak muda telah berani bangkit menyatakan protes mereka kepada pemerintahan PH.

“Dengan nikmat Islam, Allah telah melembutkan hati PAS dan UMNO hingga dapat berada sepentas walaupun sebelumnya masing-masing bercakaran dengan mengangkat senapang dan parang,“ demikian Pesuruhjaya PAS P.Pinang Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff menjelaskan asas titik pertemuan PAS dan UMNO.

“Ajaran Islam telah meresap masuk ke jiwa orang melayu sehingga dengan budi baik mereka orang bukan Islam boleh hidup sekampung dan di celah komuniti melayu Islam.

“Jadi jangan tuduh kami menyalakan api perkauman kerana sebenarnya DAP yang mula menyalakan perkauman,” tambah beliau sambil menyeru umat Islam bersatu mempertahan Islam serta nabi daripada dihina oleh orang bukan Islam.

Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden dalam ucapan beliau pula telah menerangkan dua tujuan orang berpolitik. Golongan manusia yang berpolitik secara ‘who’ akan mengejar kuasa iaitu siapa yang akan menjadi PM dan siapa yang akan popular hingga mereka sanggup menggunakan apa jua cara juga menaburkan pelbagai janji untuk menang.

“Ada juga orang berpolitik untuk menjadi kaya. Mereka membina sebanyaknya harta kekayaan tanpa mempedulikan rakyat di bawah yang hidup sengsara,” ujar beliau.

Beliau menjelaskan tujuan kedua manusia berpolitik adalah kerana ‘what’. Politik ini merujuk kepada dasar, memperjuangkan prinsip pembangunan negara yang bertepatan dengan politik Rasulullah SAW. Politik ini menghubungkan manusia dengan Allah dalam urusan dunia hingga ke akhirat.

Menyentuh usaha perpaduan antara PAS dan UMNO Ustaz Afnan menyeru ahli PAS mengamalkan politik matang sejahtera dengan merenung kembali pesanan daripada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyatakan UMNO kalau dia terima Islam PAS tidak ada pun tidak mengapa.

Sementara itu Pengerusi Penang Front Party, Datuk Patrick Ooi dalam ucapannya meminta orang ramai menurunkan tandatangan untuk menyokong kempen beliau ‘Jangan Hapuskan Hukuman Mati’ kerana Pakatan Harapan berusaha untuk menghapuskan hukuman tersebut.

Menurut beliau rakyat perlu menumbangkan DAP kerana penghapusan hukuman bunuh antara tujuannya adalah untuk menjayakan hasrat DAP menolak Raja-raja menggantikannya dengan mereka sebagai presiden.

Turut menyampaikan ucapan ialah ADUN Penaga Ustaz Mohd Yusni Mat Piah, Pengerusi Perhubungan UMNO P.Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir, Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Rizal Merican Naina Merican, Ketua Pemuda UMNO Nibong Tebal Mohd Norhiesam Ismail, Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah Kamaruzaman Mohd, Pengerusi Gagasan Tiga Azwanddin Hamzah, Timbalan Pengerusi Gagasan Tiga Amran Mohd Noor dan Pengerusi UMMAH P.Pinang Mohd Akhir Che Mat.

Jom Follow FB Rasmi Gerakan Pembela Ummah

https://facebook.com/UmmahPenangOfficial