Home Berita PAS Johor

Pertemuan Beragenda Yang Konsisten (Usrah)

1198
SHARE

Baginda saw, sejak awal dakwahnya menjadikan pertemuan bersama para sahabatnya satu kemestian yang pasti. Dr. Muhammad Munir Ghadban menyingkap beberapa faktor penting mengapa pendokong Islam, perlu sentiasa bertemu dan bersua muka, walaupun zaman ini sering kita bersembang di medium Whats App dan lain-lain medium, namun ia tidak memadai.

1. Menghubungkan jentera/ahli bersama pemimpinnya secara kerap, sekaligus menambah kepercayaan antara satu sama lain.

2. Ia juga boleh meningkatkan/ meneruskan keazaman untuk melalui jalan juang tanpa rasa lemah. Sebagaimana para sahabat r.a yang bertemu dirumah Al Arqam bin Abi Al Arqam, lalu mereka bercerita, berbincang, memberi pandangan dan berhujah lalu baginda saw memberi taujihat yang menenangkan mereka.

3. Pertemuan yang kerap (konsisten) antara pemimpin dan ahli selayaknya menyelesaikan masalah yang mendatang. Para sahabat datang bertemu baginda saw dan berbincang untuk merungkai isu-isu yang dihadapi. Samada ia datang dari pemimpin yang memberi jawapan, ataupun keberkatan daripada kerap berbincang sesama penggerak akhirnya mendapat kata sepakat.

4. Pertemuan ini juga menjauhkan kita daripada ruang fitnah, sangkaan buruk dan cakap-cakap yang dosa.

5. Pertemuan yang kerap menghasilkan saff yang ampuh, gerak kerja sentiasa dapat dikemaskini. Seakan-akan tiada ruang untuk pihak luar menyelinap dan menggangu-gugat apatah lagi memecah belahkan saff yang ampuh ini.

Ahli sesama ahli mesti sentiasa bertemu,
Pemimpin dan ahli mesti sentiasa bertemu,
Pemimpin sesama pemimpin mesti sentiasa bertemu.

Namun, apa kandungan pertemuan kita?

Kenyangkan diri dengan Al Quran.

(وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ وَتَبَتَّلْ إِلَيْهِ تَبْتِيلًا)
Al-Muzzammil:8 – Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan.

Baginda saw sentiasa menyuap para sahabat dengan peringatan Al Quran. Ia menenangkan hati, menghilangkan kekeliruan bahkan Al Quran mendatangkan penyelesaian!

“Hendaklah metodologi para Pendakwah kesemuanya bersumberkan Al Quran sejak dari awal. Para anak muda yang diisi dengan Al Quran pada fasa ini akan mendorong semua pemikiran dan maklumatnya bertitik tolak daripada Al Quran.”

Inillah ‘makanan ruji’ para pembantu Agama. Kita berada di zaman bukan tidak ada orang yang membaca Al Quran, tetapi tidak memahami isi Al Quran.

Sebab itu pertemuan yang kerap sekalipun namun sukar untuk mendengar walaupun satu ayat al Quran dibincangkan, itulah yang menjadi punca mengapa pertemuan kita adalah gagal.

Rujukan : Manhaj Haraki Sirah Nabawiyah Dr Muhammad Munir Ghadban

Mohd Adlan Mokhtaruddin