Oleh : SITTI SAIDAH OSMAN
19 September 2022
KENINGAU : Pertandingan bola jaring sempena Hari Malaysia dianjurkan oleh Nusaibah Keningau bagi menarik minat anak muda tanpa mengira umur, bangsa dan agama.
Penaungnya, Nor Azian Sapiai berharap, program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menaikkan lagi semangat kesukanan dalam kalangan peserta di samping dapat mengukuhkan lagi hubungan perpaduan antara wanita muda tempatan.
Salah seorang peserta, Nurul Syahira Wong daripada pasukan Srikandi Nusaibah berkata, dengan pertandingan bola jaring ini dapat mengasah bakat kerana bertanding dengan pasukan lawan yang hebat.
“Program seperti ini perlu diadakan secara berkala pada masa akan datang agar dapat menarik minat lebih ramai lagi wanita muda untuk melibatkan diri dalam sukan,” ujarnya.
Seramai 36 orang peserta mengikuti pertandingan bola jaring itu bermula jam 9.00 pagi di Sekolah Rendah Islam Tahfiz Al-Ilmi, Keningau, semalam.
Pertandingan diadili oleh guru Sekolah Menengah Kebangsaan Keningau 2, Keningau, Emma Nadia John dan Juvita Soumin.