Home Berita PAS Perlis

Penduduk ‘berpesta’ dalam bendang

134
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

ARAU, 19 Sept: “Ramai sungguh pi (hadir ke) Pesta Bendang Guar Sanji.”

Demikian antara respon penduduk yang ditemui sepanjang berlangsungnya program Pesta Bendang Guar Sanji semalam.

Program anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Guar Sanji yang berlangsung di Warung Kak Fizah, Kampung Tebuk di sini itu menyajikan pelbagai acara untuk segenap lapisan penduduk.

Antaranya, acara gagau ikan, larian bendang, tangkap itik, tarik tali, ‘terbey’ (lastik), tampi padi dan sebagainya.

Kemeriahan program cukup terserlah apabila lokasi program kelihatan seperti ‘tapak pesta’ dengan hampir setiap acara yang diadakan mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim yang ditemui berkata, Pesta Bendang Guar Sanji merupakan program bersifat ‘sukan rakyat’ yang diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim masyarakat setempat.

“Alhamdulillah, apa yang dianjurkan pada hari ini sebenarnya merupakan acara sukan rakyat yang ketiga dianjurkan oleh PKWR Guar Sanji selepas Guar Sanji Cubcross dan Guar Sanji FunSport yang berlangsung baru-baru ini.

“Bagi pihak penganjur, saya merakamkan jutaan ucapan terima kasih atas sokongan yang diberikan oleh lebih 600 orang pengunjung yang hadir pada hari ini.

“Sekalung penghargaan juga kami ucapkan buat Pertubuhan Guar Sanji Prihatin (GS Prihatin), AMEERAH Arau, JPrD DUN Guar Sanji, Muslimat DUN PAS Guar Sanji, JPKK Kg. Tebuk, dan Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis serta pihak YaPEIM, AADK dan JPAM yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini,” katanya.