Home Artikel PAS Wilayah

Pertahan Tabung Haji dari terus rugi

386
SHARE

 

Oleh: Thiah Razali

Batu – Penjualan dua anak syarikat TH Plantation Sdn. Bhd. (THP) baru-baru ini dilihat sebagai sesuatu yang amat merugikan.

Demikian antara intisari pidato Ketua Penerangan Ameerah Wilayah Persekutuan, Nurul Najwa Hidayah Amir di Himpunan Wanita Muafakat Nasional Peringkat Wilayah Persekutuan di sini 16 Februari lalu.

“TH Plantation telah menjual 100% ekuiti pemilikan dua anak syarikatnya; Bumi Suria Ventures (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MW) kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd dengan harga yang sangat rendah iaitu pada harga RM 170 juta, RM 210 juta lebih rendah dari nilai bukunya, RM 380 juta berdasarkan kepada nilai yang diletakkan oleh jurunilai bebas yang dilantik kerajaan Pakatan Harapan.

“Kita tiada isu kalau kedua-dua syarikat tersebut tak boleh ‘survive’ lagi, tetapi kita nak tahu siapa jurunilai bebas itu. Apa justifikasi sampai harta yang dijual itu harganya jatuh mendadak.

“Sedangkan ‘Share Purchase Agreement (SPA)’ yang dikeluarkan oleh Bursa Malaysia menunjukkan harga buah tandan segar (BTS) adalah menaik daripada tahun 2016 hingga 2018.

“Dan sekarang, harga minyak sawit mentah sedang menaik di pasaran dan yang mendapat keuntungan adalah pembeli di mana Lembaga Pengarahnya adalah orang bukan Islam,” ujar beliau lagi.

Tegasnya, Tabung Haji merupakan institusi kewangan umat Islam yang tidak boleh diganggu gugat dan umat Islam wajib bersatu padu untuk menghalang sebarang percubaan untuk merugikan institusi yang sangat berharga ini.

Tambahnya lagi, masih ada tuduhan yang dilemparkan kepada kerajaan Negeri Kelantan dengan dakwaan Kelantan adalah negeri yang mundur, miskin dan tidak mampu mentadbir.

Bidasnya, pada 2 Julai lalu, Scoot Tigerair Pte. Ltd, anak syarikat Singapore Airlines telah membuka laluan penerbangan dari Kota Bharu ke Singapore sebanyak 3 kali seminggu.

“Saya hairan juga kenapa syarikat Singapore Airlines baik hati untuk membuka laluan penerbangan ke sana?

“Bermakna ada potensi yang besar di Kota Bharu, bukan seperti yang dituduh dan dimomokkan miskin, tak mampu,” ujarnya.

Jelasnya juga, penyata rasmi Dewan Rakyat bertarikh 2 Disember 2019 menyatakan bahawa Menteri Usahawan mengakui, negeri yang mempunyai paling ramai usahawan kecil dan sederhana adalah Kelantan.

Kerana itu katanya, rakyat perlu meyakini bahawa Islam boleh dan mampu mentadbir serta percaya kepada ketokohan pimpinan yang sedia ada.