Home Artikel PAS Wilayah

Islam solusi krisis ekonomi rakyat

586
SHARE

 

Oleh: Thiah Razali

Batu – Sejarah kekuatan Islam zaman dahulu patut dijadikan inspirasi ke arah pembangunan ekonomi Islam masa kini.

Menurut Ketua Penerangan Ameerah Wilayah Persekutuan, Nurul Najwa Hidayah Amir dalam pidatonya di Himpunan Wanita Muafakat Naisonal Wilayah Persekutuan 16 Februari lalu, semasa zaman kegelapan di Eropah di sebelah Barat sedang berlaku, kerajaan Islam di sebelah Timur sudah mengecapi kemajuan ekonomi dan mempunyai polisi ekonomi yang mantap.

“Pada masa tersebut ada cukai kharaj, ushur, jizyah dan sebagainya, ada ‘musafir khanah’ iaitu hotel bagi orang yang bermusafir dan mana-mana orang Kristian pada zaman itu akan berasa gah jika ada di antara mereka yang pergi belajar perubatan dan sebagainya di sebelah Timur kerana di sana telah maju dalam ekonomi dan pentadbiran negara,” ulasnya.

Beliau juga mejelaskan di zaman pemerintahan Khalifah Umar, tiada orang miskin di bawah pemerintahan Islam.

“Pada zaman dahulu, Sai’d bin Yahya dihantar ke Afrika untuk mencari orang miskin untuk diberi bantuan, tetapi tiada.

“Selepas itu, (kerajaan) tanya pula siapa yang ada hutang, kerajaan bayarkan hutang, selepas kerajaan bayarkan hutang rakyat, ada lagi lebihan duit untuk rakyat, kerajaan cari pula lagi siapa yang nak mendirikan perkahwinan, kerajaan tanggung semua kos perkahwinan.

“Ini menunjukkan kerajaan Islam dahulu meletakkan kepentingan rakyat di hadapan, dana dikutip daripada orang kaya kepada orang miskin dan kerajaan bukan hanya ada kuasa membeli (purchasing power) tetapi juga kuasa modal (capital power) sehingga boleh beri rakyat modal perniagaan, bukan hanya bantuan asasi,” perincinya.

Tambahnya lagi, agenda Penyatuan Ummah yang diwar-warkan sekarang sudah lama berada dalam ‘big picture’ Tuan Guru Presiden PAS melalui keterlibatan beliau secara langsung dalam agenda penyatuan ekonomi ummah negara-negara Islam peringkat antarabangsa.

“Tahun 1995, selepas kemenangan Parti Refah di Turki, Almarhum Professor Najmuddin Erbakan telah melancarkan kuasa ekonomi dan penyatuan ekonomi bersama lapan negara umat Islam dan pada masa itu, fokus mereka adalah untuk mendapat kerjasama ekonomi, politik , dan juga pertahanan.

“Pada masa tersebut, Turki sangat berminat untuk membawa masuk dan membeli kereta Proton buatan Malaysia atas semangat ‘Buy Muslim First’, ” ujarnya.

Hari ini tegasnya, kita wajib menyokong apa sahaja yang baik yang datang dari umat Islam dengan segala usaha Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) tanpa mengira perbezaan politik dan fahaman.